Khamis, 14 Jun 2018

‘Cadang penasihat agama untuk Presiden Umno’


Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan
Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan
SHAH ALAM - Calon Ketua Pemuda Umno, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan mencadangkan agar diwujudkan satu Majlis Penasihat Agama untuk memberi nasihat kepada presiden parti.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Alumni Kelab Umno Luar Negara (AKULN) berkata, inisiatif itu wajar untuk dilaksanakan kerana presiden perlu sentiasa mendapat nasihat dalam isu membabitkan agama.

“Kita cadangkan agar diwujudkan untuk presiden parti untuk pastikan presiden pada setiap tindakan, dasar, aktiviti tak akan lari daripada prinsip agama dan hukum syariah,” katanya dalam program FB Live Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Wan berkata sekiranya beliau dipilih sebagai ketua Pemuda Umno , beliau akan memastikan agar semua pihak dalam barisan pemuda di semua peringkat baik cawangan, pusat akan terlibat dalam proses pembuatan cadangan yang akan dibuat secara inklusif.

Sementara itu, menyentuh mengenai hala tuju beliau dalam Umno, beliau tegaskan bahawa tawarannya untuk bertanding adalah bagi membawa angin  perubahan dalam Umno.

“kita sedar masyarakat mahukan sesuatu yang baru untuk Pemuda mungkin sesuatu yang lebih muda,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai dakwaan yang mengatakan rakyat menolak Umno, Wan berkata ‘perkara itu tidak timbul’.

“Saya analisa dan bagi saya rakyat sebenarnya tak tolak parti Umno, rakyat hanya menolak kepimpinan yang ada dalam Umno dan juga proses yang ada dalam Umno.

“Umno ditubuhkan atas keperluan untuk menjaga hak orang Melayu dan memartabatkan Islam, perjuangan ini masih relevan terutamanya kepada bangsa Melayu, Umno harus dilihat bukan sahaja parti yang memperjuangkan Melayu dan telah juga berjaya memperjuangkan nasib bangsa lain yang rata-ratanya merangkumi segenap masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan pemilihan caon ketua Pemuda Umno, Wan  adalah individu kelapan menawarkan diri berebut jawatan itu pada pemilihan parti kali ini.

Tujuh pesaing lain ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos; Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah; dan Ketua Penerangan Pemuda Umno Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Jamalullail Syed Harman.Ketua Umno Cawangan Kelisa Mohd Nor Izzat Mohd Johari dan Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros.

Tiada ulasan: