Selasa, 6 Mac 2018

SPRM sedang siasat kes akaun RM1 juta pengarah JSJ

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembekuan akaun hampir RM1 juta di Australia.
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pemberi maklumat semalam.
 
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemberi maklumat itu yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
 
“Pada mulanya kami dengar mengenai kes itu daripada satu sumber terbuka dan kami tidak boleh terus mengambil tindakan. Seperti kami katakan sebelum ini, kami menghormati siasatan dalaman polis dan kenyataan dibuat timbalan perdana menteri.
 
“Kami akan mempertimbangkan dan dengan maklumat terbaru yang kami terima daripada pemberi maklumat itu semalam, kami akan memulakan satu siasatan secepat mungkin,” katanya kepada akhbar itu.
 
Beliau yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, pegawai penyiasat SPRM akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes itu daripada Bukit Aman dan polis Australia.
 
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan dan tidak membuat spekulasi.
 
“Kes ini berlaku di Australia pada 2016. Jadi, kami perlu mendapatkan maklumatkan berkaitan daripada pihak berkuasa Australia dan polis persekutuan (negara itu).”
 
Ahad lalu, Azam dilaporkan berkata, SPRM menerima hasil siasatan dalaman polis yang membersihkan Najmuddin daripada sebarang salah laku.
 
Jumaat lalu, Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan polis Australia membekukan A$320,000 (RM970,000) dalam akaun “Goal Saver” Bank Commonwealth milik Najmuddin kerana mengesyaki “kemasukan wang tunai mencurigakan” dalam akaun itu yang tidak aktif selepas dibuka pada 2011

Tiada ulasan: