Khamis, 1 Mac 2018

Sekatan Peruntukan : PAS Selangor Tidak Akan Tulis Surat Rayu Azmin – Ustaz Sallehin

 
 



PAS Selangor tidak akan menulis surat merayu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung dengan sekatan peruntukan kepada semua wakil rakyat PAS, tegas Pesuruhjaya PAS negeri, Yb Ustaz Sallehin Mukhyi.

Menurutnya amalan menulis surat bukan amalan biasa yang dipraktikkan sebelum ini kerana peruntukan itu sudah diluluskan dalam belanjawan Kerajaan Negeri Selangor tahun lalu.

“Kita (PAS Selangor) membuat keputusan, PAS tidak akan merayu, membuat surat rayuan untuk mendapatkan peruntukan sebab ini bukan amalan, sedangkan peruntukan ini telah diluluskan dalam bajet dan diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri.

“Menjadi amalan, kebiasaannya apabila diluluskan, maka pada awal tahun, bajet ini akan turun dan dapat digunakan oleh semua ADUN dan bukan amalan kena tulis surat baru peruntukan itu akan turun kepada kita”katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Selangor hari ini.

Sallehin berkata bagaimanapun terdapat beberapa ADUN PAS telah menulis surat kepada Azmin, namun ADUN berkenaan juga masih belum mendapat peruntukan.

“Selama ini kita mendengar alasan daripada Menteri Besar..soal peruntukan ini adalah soal teknikal.

“Tetapi yang menjadi kemusyikalan kita kenapa yang teknikal itu hanya kepada ADUN-ADUN PAS sahaja, sedangkan kepada ADUN-ADUN lain (daripada PKR, DAP dan Amanah), mereka tidak mempunyai masalah teknikal dan peruntukan itu sudah boleh digunakan oleh ADUN-ADUN yang lain.

“Bila Menteri Besar suruh rujuk kepada pegawai daerah, pegawai daerah kata kena rujuk kepada Menteri Besar, akhirnya ia berlaku tolak menolak menolak sahaja. Ini boleh jadi untuk melewat-lewatkan..”katanya.

Beliau berkata PAS Selangor akan terus mendesak Menteri Besar Selangor memberi jawapan secara terbuka kerana Azmin juga memberi arahan lisan kepada pejabat kewangan negeri supaya peruntukan kepada semua ADUN PAS disekat.

“Kita akan minta penjelasan secara terbuka disebabkan arahan Menteri Besar secara lisan…kerana arahan dia (Azmin untuk sekat peruntukan) kepada kewangan negeri secara lisan..maka kita minta dia (Azmin) memberi penjelasan secara lisan juga,”katanya lagi

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: