Jumaat, 2 Mac 2018

Saya tetap mahu tanding kerusi Cameron Highlands – Kavyeas

Kasthuri Jeevendran
Tan Sri M. Kavyeas


CAMERON HIGHLANDS – Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kavyeas bertegas tidak akan sesekali menyerah kalah pada mana-mana ‘calon’ atau parti yang akan bertanding di kerusi Cameron Highland pada Pilihan Raya Umum ke-14, sebaliknya akan berjuang berhabis-habisan kali ini.

Menurut Kavyeas, beliau sudah ‘muak’ dengan segelintir pemimpin yang menganggap diri mereka sebagai calon kerusi tersebut namun tidak banyak mempamerkan komitmen memperjuangkan masyarakat di kawasan itu dan lebih berminat untuk bertanding sahaja.

“Saya telah buat keputusan, saya tidak akan sesekali berganjak daripada keputusan untuk memperjuangkan kepentingan warga Cameron Highlands. MyPPP akan tetap bertanding di Cameron Highlands walaupun MIC juga mahu bertanding.

“Saya bersama parti saya telah berada di Cameron Highlands lebih daripada empat tahun, berjuang dalam menjaga kepentingan warga Cameron Highlands sekali gus menjaga kepentingan Barisan Nasional (BN).

“Cameron Highlands dibiarkan terbiar ketika parti MIC dilanda krisis dalaman untuk sekian lama. Saya ‘jaga’ kawasan ini malah sentiasa memberi perhatian serta keutamaan kepada masyarakat di sini selama ini. Saya bukan datang sini enam bulan lepas dan meminta kerusi ini untuk diberikan kepada parti kami.

“Walauapapun, kami sudah tekad. Kami tidak melepaskan kerusi ini dengan begitu sahaja kerana itu kehendak rakyat dan kemenangan BN adalah keutamaan saya dan MyPPP,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Kavyeas, beliau juga sudah bosan untuk pertukaran kerusi pada saat-saat akhir seperti yang berlaku sebelum ini.

“Saya tidak boleh tunggu setiap kali PRU, ada kerusi lain yang diberikan. Cara itu sudah tidak boleh digunapakai lagi. Kerana itu juga, saya telah berada di Cameron Highlands sejak empat tahun lalu dan bekerja di sini dan bukan tunggu menjelangnya PRU,” ujarnya.

Tambah Kavyeas dalam nada tegas, beliau bersama ahli parti yang lain akan lebih agresif berkempen di Cameron Highlands walaupun ada ‘segelintir’ pihak tidak menyenangi kehadiran mereka.

“Suka atau tidak, anda akan melihat kelibat kami di mana-mana di Cameron Highlands. Siapa calon, biar Perdana Menteri merangkap Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak buat keputusan. Beliau juga mahu calon yang benar-benar boleh menjadi ‘winable candidate’.

“Tidak ada guna untuk hanya bercakap sahaja mahu kerusi ini tetapi fokus serta komitmen terhadap kemenangan kawasan serta rakyat di pandang begitu sahaja. Kemenangan BN sangat penting ketika ini.

“Sejak dua PRU yang lepas, populariti BN sudah menurun kerana rakyat mahukan perubahan. Saya juga tidak menolak puncanya juga daripada pembangkang yang bijak memanipulasi fikiran rakyat.
Tetapi kita juga jangan lupa, pengundi kita juga semakin bijak,” tegasnya.

Perebutan ‘kerusi selamat’ BN itu terus berlaku antara Kavyeas dan Penyelaras MIC Cameron Highlands merangkap Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh sejak beberapa bulan lepas.

Penyandangnya, Datuk Seri G. Palanivel merupakan bekas Presiden MIC sebelum diisyitihar menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaanya dalam parti semasa krisis MIC pada 2015.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamny yang juga Timbalan Presiden MIC pernah menang dua kali berturut-turut di Cameron Highland iaitu pada PRU 11 dan 12. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: