Jumaat, 2 Mac 2018

Sallehen yakin Azmin dapat tekanan dalam PH

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi yakin wujud tekanan buat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam tindakannya membekukan dana kepada ADUN PAS di negeri itu.
 
Beliau yang dihubungi Antarapos menyifatkan, rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) menjadi punca kepada tekanan ini.
 
"Kalaupun tidak PH pusat (masuk campur) tapi saya percaya, dikalangan ADUN atau parti yang ada di dalam Selangor termasuk PBBM, paling kuat PAN (Amanah), DAP yang terus menyokong tindakan Azmin untuk mendesak kepada pembekuan dana dilakukan kepada ADUN PAS.
 
"Secara refleksnya, Azmin sendiri tidak dapat menahan tekanan daripada rakan-rakan dalam PH, walaupun sukar tapi itulah antara yang berlaku akibat tekanan yang diberi maka pembekuan diarahkan," ujarnya kepada Antarapos.
 
Sallehen juga menjelaskan, PAS sebelum ini mempunyai hubungan yang baik dengan PKR lebih-lebih lagi Azmin.
 
Namun katanya, masalah mula timbul selepas PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi mereka dengan PKR dalam muktamar tahun lalu, apabila rakan komponen dalam PH seperti Amanah dan DAP lantang mendesak Azmin mengeluarkan PAS daripada kerajaan negeri.
 
"Sedangkan masa kerajaan negeri, PAS mengambil keptusan kita tidak ada tahaluf siyasi dengan PKR dalam konteks politik diluar, tapi dalam kerajaan negeri PAS masih ada dalam kerajaan
 
"Ketika itu tekanan-tekanan telah ada dari kalangan pimpinan-pimpinan PH yang menekan ambil tindakan kepada PAS, suara-suara supaya keluarkan PAS dari kerajaan, macam-macam ketika itu.
 
"Ini dikira tekanan kepada Azmin kepada pembekuan peruntukan ini," katanya.
 
Sementara itu, Sallehen menyifatkan Azmin yang dikenalinya bukan seorang yang bersikap sedemikian.
 
"Tidak ada satu kenyataan yang tidak jelas, Azmin sendiri seorang yang kuat mendokong keadilan bahkan di Selangor. ADUN-ADUN BN dapat peruntukan, ini menunjukkan keadilan kepadanya, yang kita tidak menyisihkan wakil rakyat.
 
"Tiba-tiba beliau hilang pertimbangan, sebenarnya saya kenal Azmin, dia bukan bersikap macam tu, tapi saya percaya ada unsur luar memberi tekanan kepada Azmin,"ujarnya.
 
PAS Selangor sebelum ini memberi kata dua kepada Azmin untuk menyelesaikan isu peruntukan kepada 13 wakil rakyatnya sehingga perayaan Tahun Baru Cina.
 
Sallehen sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk membawa isu ini ke pengetahuan istana Selangor, jika ia masih menemui jalan buntu.
 
 

Tiada ulasan: