Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi mencabar Pakatan
Harapan (PH) menamakan calon Menteri Besar Selangor jika menang Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sallehen berkata jika PH benar-benar yakin akan terus mentadbir
Selangor, pakatan empat pembangkang itu tidak akan teragak-agak
mengumumkan siapakah calon menteri besar.
"Jika PH benar-benar bersedia untuk mentadbir negeri Selangor, PAS
ingin mengetahui calon menteri besar yang ingin dicadangkan, jika benar
PH kini berada dalam keadaan utuh.
"Jika pada peringkat awal sudah bercelaru, bagaimana hendak mentadbir
negeri selepas ini," soal Sallehen ketika ditemubual secara eksklusif
Antarapos.
Sallehen berkata, bukan sahaja PAS malah rakyat juga ingin mengetahui
siapakah calon menteri besar PH berikutan penyandang sedia ada, Datuk
Seri Mohamaed Azmin Ali sebelum ini dikritik sebagai 'tidak layak
menjadi menteri besar' oleh sekutunya sendiri.
Bukan itu sahaja, Azmin turut dilabel sebagai 'badut' oleh pemimpin
Amanah Selangor selain dicop DAP negeri itu dengan jolokan 'tidak layak
menjadi pengerusi PH Selangor' selepas masing-masing tidak berpuas hati
dengan cara ADUN Bukit Antarabangsa itu mengendalikan agihan kerusi
sesama mereka.
"Kenyataan dari PAN (Amanah) yang menyatakan Azmin Ali tidak layak
menjadi Menteri Besar dan DAP juga menyatakan Azmin Ali tidak layak
menjadi Menteri Besar. Jadi, apakah (mesej) yang ingin disampaikan?,"
soal Sallehen.
Berbeza dengan PAS Selangor, Sallehen berkata semua calon yang
dipertaruhkan partinya untuk bertanding di kerusi DUN negeri itu layak
untuk menjadi menteri besar, jika diperkenan Sultan Selangor.
Ini berikutan PAS kali ini menurunkan calon yang lebih bertenaga,
berwibawa dan profesional disamping mengekalkan ADUN yang menang pada
PRU13.
"Semua ADUN-ADUN PAS yang dipilih pada kali ini merupakan calon yang
layak untuk menjadi menteri besar. PAS bukan bergerak secara individu,
tetapi sangat kompoten untuk menyediakan calon-calon yang secara
keseluruhannya melalui satu proses pentarbiyahan sejak dari awal lagi.
"Jadi, InsyaAllah PAS akan menyediakan calon-calon yang baik, tidak
melakukan rasuah, tahu akan dosa dan pahala dan bersih yang akan
memudahkan Tuanku untuk melakukan pemilihan jika PAS menang dalam
pilihan raya.
"Calon-calon yang telah memenangi pilihanraya akan dikekalkan dan
sebahagian besar, PAS akan mengemukakan calon-calon muka baru yang
profesional, bertenaga, baik dan berwibawa yang lahir daripada proses
pentarbiyahan PAS sendiri," katanya.
PRU14 yang dijangka akan diadakan dalam beberapa minggu sahaja lagi
akan menyaksikan PAS bersama rakan strategik mereka dalam Gagasan
Sejahtera (GS) bertanding melawan PH dan Umno Barisan Nasional (BN).
PAS sebelum ini menyatakan keyakinan akan menang di 40 kerusi parlimen pada PRU14 meskipun menghadapi saingan tiga penjuru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan