KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi meminta PPBM akur dengan ketetapan yang diperuntukkan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang memberi notis kepada parti itu
semalam.
Katanya, beliau tidak berhasrat untuk mencampuri urusan RoS, namun
sebagai jabatan kerajaan yang bernaung di bawah Kementerian Dalam Negeri
(KDN) beliau mahu segala ketetapan dituruti.
“Saya fikir tindakan yang dilakukan oleh ROS meminta supaya pemimpin
PPBM supaya mengemukakan laporan sepenuhnya daripada mesyuarat cawangan,
mesyuarat bahagian sehingga ke perhimpunan agong mereka hendaklah
dikemukakan.
“Saya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam pentadbiran dan
keputusan ROS, maka pada hemat saya PPBM harus memenuhi syarat seperti
mana termaktub dalam Perlembagaan mereka sendiri,” katanya dalam sidang
akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-25 di sini hari ini.
ROS semalam telah mengemukakan satu notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta
Pertubuhan 1966 kepada PPBM berkuat kuasa 28 Februari lalu.
Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, notis tersebut yang telah
diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh
mengkehendaki parti tersebut menjawab serta menyerahkan semua maklumat
dan juga dokumen kepada pihak RoS.
Sekiranya PPBM gagal menyerahkan maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen
yang diminta, katanya, tindakan susulan daripada ROS adalah mengikut
Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah
pembubaran ke atas PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan