Sabtu, 10 Mac 2018

PPBM diyakini mampu selesai masalah dengan RoS - PKR

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rakan komponen PPBM dalam Pakatan Harapan (PH), PKR menyerahkan kepada parti itu dalam menyelesaikan masalah mereka dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
 
Menurut Ketua Whipnya Datuk Johari Abdul, beliau yakin parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu mampu menyelesaikan masalah mereka dan dapat mengemukakan apa yang diminta RoS.
 
Beliau juga enggan mengulas mengenai rancangan PH seandainya PPBM dibubarkan.
 
"Saya pun tidak tahu apakah terjadi kepada PPBM semasa mesyuarat agung mereka. Namun begitu, sudah tentu pimpinan PPBM mempunyai banyak jawapan dan akan dijawab kepada RoS seperti yang diminta. Soalnya adakah mereka kalau dibatalkan? Soal akan dibatalkan kita bincang kemudianlah. 
 
"Yang keduanya berkenaan dengan, surat itu saya rasa adalah dari pentadbiran dan undang-undang. Ya, RoS mempunyai hak untuk bertanya dan menulis surat amaran ke tunjuk sebab atau apalah. Saya rasa mungkin PPBM akan respons. Saya tidak ada butiran tentang apa yang terjadi dalam mesyuarat mereka," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
PPBM berdepan risiko dibubarkan selepas notis dikemuka RoS semalam mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 yang berkuat kuasa 28 Februari lalu.
 
Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, notis tersebut yang telah diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh mengarahkan parti terajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu menjawab serta menyerahkan semua maklumat dan juga dokumen kepada pihak RoS. 
 
Notis 14 (2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh RoS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.
 
Sekiranya PPBM gagal menyerahkan maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta, katanya, tindakan susulan daripada RoS adalah mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah pembubaran ke atas PPBM.
 
Ia susulan penerimaan 430 aduan daripada ahli dan bekas pemimpin PPBM yang tidak berpuas hati dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu yang dianggap tidak sah dan melanggar perlembagaan parti.
 
Dalam pada itu, Johari turut meluahkan rasa tidak puas hatinya atas tindakan RoS yang sehingga kini tidak memberikan sebarang maklum balas berkenaan status pendaftaran gagasan pembangkang itu.
 
Tegasnya, tindakan RoS yang membisu itu jelas tidak rasional meskipun telah 'diheret' ke mahkamah. 
 
"Ia dua isu yang berbeza. Yang pertama tentang permohonan untuk mendaftarkan PH. Permohonan itu pun tidak dibuat direspons oleh RoS. Jadi bagi saya, sepatutnya RoS kena respons awal lagi sama ada boleh atau tidak boleh. Diluluskan atau tidak. Status dia, dah masuk nak dekat setahun dah ini.
 
Jadi tindakan RoS agak 'low'," tegasnya. 
 
Untuk rekod, AGM sulung PPBM pada 30 Disember tahun lalu yang dihadiri 941 perwakilan daripada 137 bahagian bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
 
Bagaimanapun beberapa pemimpin akar umbi tampil mendakwa kononnya AGM PPBM 'syok sendiri' berikutan memperjuangkan kepentingan individu tertentu dan tiada inisiatif untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.
 
Masalah dalaman PPBM ini turut menjejaskan usaha gagasan pembangkang yang dianggotainya untuk bernaung di bawah satu logo pada PRU14.
 
Ia berikutan kegagalan parti itu mematuhi perlembagaannya, menyebabkan permohonan pembangkang mendaftarkan PH, sehingga kini tidak diluluskan.
 
Pemerhati politik turut berpandangan, ketika ini sukar bagi PH didaftarkan, melainkan PPBM dikeluarkan daripada komponennya

Tiada ulasan: