Ahad, 25 Mac 2018

PAS ada cara bagaimana calon tidak sabotaj atau disabotaj - Hadi

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SERDANG: Calon pilihan raya PAS diyakini tidak akan mensabotaj parti atau disabotaj ahlinya yang lain, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Ujar Presiden PAS itu, parti mempunyai kaedah tersendiri bagaimana mahu memilih calon pilihan raya yang setia dan disokong ahli akar umbi kawasan masing-maisng.
 
"Kita sudah selesai soal calon ini lebih 90 peratus. Sebab itu tidak penting PAS ikut parti lain, kita ada pendekatan sendiri. Yang mana calon yang kita pilih ini dilihat adabnya termasuk pandangan-pandangan akar umbi parti. 
 
"Tidak ada, insyaAllah. Orang yang nak bertanding ini payah. Orang tahu nak bertanding PAS ini besar tanggungjawabnya. Sebab itulah kita mencari calon calon, bukan datang (tapi kita yang mencari)," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Mahasiswa Malaysia di Serdang Jaya di sini, hari ini. 
 
Beliau berkata ketika diminta mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) yang bakal memecah tradisi dengan menamakan lebih awal calon pilihannya berbanding amalan biasa sebelum ini.
 
Pengerusinya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan mengumumkan calon parti komponen BN 'lebih awal' tetapi tidak 'terlalu awal' bagi mengelakkan calon mensabotaj atau disabotaj parti.
 
Hadi turut ditanya sama ada rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 sempat dibentang ke Parlimen sebelum dibubarkan.
 
Ujarnya, pihaknya sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dan kini terpulang kepada kerajaan Umno BN untuk menguruskannya.
 
"Itu tugas kerajaan, saya dah bawa ke Parlimen. Menentukan bila dibahas itu budi bicara Speaker. Yang penting kita berjaya melonjakkan RUU355 ini menerusi usul yang pertama, kerana usul persendirian mestilah memenuhi syarat. 
 
"Yang pertama seorang kabinet mesti benar usul itu dibawa ke Parlimen. Dia telah benar bawa, bila nak diundi itu soal kerajaan," ujarnya.
 
Sebelum ini RUU355 dibentangkan kali ketiga pada sesi persidangan Dewan Rakyat pada April tahun lalu oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai usul persendirian.
 
Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan termasuk penambahan tempoh penjara lebih tiga tahun atau denda lebih RM5,000 atau lebih enam sebatan kepada hukuman penjara lebih 30 tahun atau denda lebih RM100,000 atau 100 sebatan dilaksana mengikut jenayah syariah.
 
Parlimen yang sedang bersidang sehingga 5 Mac ini, dijangka persidangan yang terakhir sebelum PRU14.
 
Penggal kerajaan akan berakhir pada 24 Jun ini dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
 
 

Tiada ulasan: