Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Janice Lee menasihatkan bekas parti anutannya, DAP dan
parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) agar menghentikan budaya
politik nepotisme.
Beliau yang kini Setiausaha Parti Rakyat Malaysia (PRM) berkata budaya
ahli keluarga memegang jawatan penting dalam parti tidak akan
menyuburkan sistem demokrasi di negara ini.
"Didalam politik perlu ada 'check and balance' dan pembahagian kuasa
yang telus bagi memastikan negara semakin maju dan parlimen semakin
berkembang setimpal dengan sistem demokrasi negara.
"Saya rasa DAP atau lain-lain parti tidak sepatutnya mengamalkan
nepotism kerana perkara ini bercangggah dengan konsep demokrasi dan
meritokrasi dalam setiap parti," katanya dalam satu temu bual eksklusif
bersama Antarapos.
Budaya politik nepotisme dalam PH bukan isu asing malah kerap kali diperkatakan.
Namun ia ibarat 'mencurah air ke daun keladi' dan budaya ini terus
diterima pemimpin serta penyokong akar umbi parti politik PH.
Untuk rekod, DAP diterajui penasihatnya Lim Kit Siang sementara anaknya
Lim Guan Eng memegang jawatan paling penting dalam parti, iaitu
Setiausaha Agung.
Manakala, PKR pula terdiri daripada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar
Ibrahim sementara isterinya menduduki kerusi presiden parti dan anak
sulong mereka, Nurul Izzah Anwar menjawat jawatan naib presiden.
Parti yang baru menganggotai PH, PPBM pula menyaksikan pengerusinya
dikuasai Tun Dr Mahathir Mohamad sementara anaknya, Datuk Mukhriz
Mahathir pula menjawat jawatan timbalan presiden.
Lebih menarik, PH sebulat suara untuk memilih Dr Mahathir sebagai calon
sementara perdana menteri pembangkang jika menang Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
Azizah pula dipilih sebagai calon timbalan perdana menteri pembangkang.
Sementara Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr
Mahathir apabila beliau dibebaskan daripada penjara dan mendapat
pengampunan Yang Di-Pertuan Agong.
Jika itu yang berlaku, Malaysia bakal mendapat perdana menteri dan
timbalan perdana menteri yang merupakan pasangan suami isteri.
Justeru Janice yang juga bekas ADUN Teratai berkata sebelum menjadi
semakin parah, parti pembangkang harus berhenti mengamalkan budaya
nepotisme dalam berpolitik.
"Saya rasa mungkin akan ada 'conflict of interest' dalam satu hari.
Contoh, suami jadi perdana menteri dan isteri menjadi menteri kewangan.
Jadi apa-apa masalah boleh dibincangkan di rumah sahaja tanpa
dibincangkan dalam mana-mana kabinet atau jawatankuasa.
"Mereka boleh kumpul makan dan berbincang berdua sahaja," kata Janice lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan