KUALA LUMPUR: Pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan
raya yang dijadualkan pada 29 Mac ini diawalkan, sekali gus memungkinkan
Parlimen dibubarkan akhir Mac atau awal April bagi membolehkan Pilihan
Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.
Sumber berkata, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian
Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri
itu, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat seawal 19 Mac ini atau
selewat-lewatnya pada 26 Mac, lapor Berita Harian.
Ia dilakukan sebaik selepas berakhirnya perbahasan usul menjunjung
kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang sedang
berlangsung di Dewan Rakyat sekarang, selesai.
Menurut sumber itu lagi, usul berkenaan mulanya dijadualkan untuk
dibentang pada 29 Mac, tetapi diawalkan sebagai persiapan untuk
menghadapi PRU-14.
PM dijangka bentang usul kali pertama
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan usul itu untuk bacaan kali pertama.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald
Kiandee, berkata usul berkenaan perlu dibahas dan diluluskan dengan
undian majoriti mudah iaitu lebih separuh daripada 222 Ahli Parlimen.
"Selepas diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak akan
melalui Dewan Negara dan Perdana Menteri akan membawanya terus kepada
Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda," katanya,
ketika dihubungi.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, usul persempadanan semula kawasan
pilihan raya itu hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan,
kerana tidak membabitkan tambahan jumlah kerusi.
Jika membabitkan tambahan jumlah kerusi Parlimen, maka Dewan Rakyat
perlu meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan, untuk majoriti
dua pertiga.
Tiada tempoh ditetapkan untuk dapat perkenan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah,
pula ketika dihubungi menjelaskan tiada tempoh ditetapkan oleh
Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya hanya akan berkuat
kuasa selepas mendapat perkenan dan ditandatangani Yang di-Pertuan
Agong.
"Ianya akan dikuat kuasa pada tarikh Seri Paduka Baginda bersetuju dan (terus) diwartakan," katanya.
Mengenai PRU-14 beliau berkata, SPR kini dalam peringkat akhir
persiapan dan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan pilihan raya pada
bila-bila masa.
Satu lagi sumber memberitahu, sebaik mendapat perkenan Yang di-Pertuan
Agong, sempadan bahagian pilihan raya baru akan berkuat kuasa apabila
Dewan dibubarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa Perintah
Persempadanan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.
Persidangan penggal keenam Dewan Rakyat dijadual berlangsung selama 20 hari dan akan berakhir 5 April.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Parlimen akan dibubarkan terus
sebaik Dewan Rakyat meluluskan RUU persempadanan semula kawasan pilihan
raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan