KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 bakal
mencetuskan tekanan terhadap rangkaian perniagaan di negara ini dalam
menurunkan harga barangan untuk kekal berdaya saing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri
Hamzah Zainudin, berkata strategi serampang dua mata itu berupaya
mempelbagaikan pilihan barangan keperluan harian kepada pengguna dan
menyebabkan tempias perubahan positif dalam sektor peruncitan.
Katanya, pelaksanaan KR1M 2.0 menyaksikan percaturan model perniagaan
yang menjual barangan berkualiti pada harga rendah berdasarkan kerjasama
dengan pengeluar terkemuka tertentu di negara ini.
"KR1M mempunyai tiga fasa pelaksanaan iaitu pasar raya, kedai serbaneka
dan cawangan peruncitan bebas, justeru ia bersifat menyeluruh sehingga
berupaya mencetuskan impak positif bagi menangani peningkatan kos sara
hidup.
"Kita tidak akan terburu-buru melaksanakan fasa akhir KR1M 2.0, iaitu
menjalin kerjasama dengan kedai runcit bebas kerana perlu
mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk kos logistik.
"Selain itu, kerajaan ingin pastikan lokasi kedai runcit bebas ini
berada dalam lingkungan 15 hingga 20 kilometer daripada pasar raya dan
serbaneka yang bernaung dalam KR1M 2.0 supaya menjamin jualan bekalan
keperluan harian pada harga berpatutan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) ketika
Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Idris meminta hala tuju kerajaan berhubung mekanisme KR1M 2.0 bagi
memastikan harga barang keperluan dijual pada kadar lebih rendah
daripada pasaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan