KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Pakatan Harapan (PH)
mencabar Pendaftaran Pertubuhan (RoS) susulan kelewatan meluluskan
permohonan pendaftaran gabungan itu di bawah satu logo pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14).
Peguam yang mewakili PH, Gobind Singh dan Haniff Khatri Abdulla
memberitahu Hakim Datin Azizah Nawawi memberikan kebenaran untuk semakan
kehakiman di kamarnya.
“Kami memfailkan semakan kehakiman untuk mendesak RoS memberi respon
berkenaan pendaftaran kami dan kami juga mahu mendesak mereka
mendaftarkan PH seperti mana dalam permohonan.
“Mahkamah membenarkan kami mencabar RoS dan menetapkan 15 Mac. Kami
akan meminta tarikh pendengaran lebih awal memandangkan pilihan raya
semakin hampir,” kata Gobind.
Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Setiausaha Agung PH, Datuk
Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Salleh,
Timbalan Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan
Pengerusi DAP Tan Kok Wai.
Pada 21 Februari lalu, PH memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi
terhadap RoS bagi mendesak badan itu menjawab pernyataan tentang status
permohonan pendaftaran gabungan parti pembangkang itu.
Gobind berkata tindakan berdiam diri RoS boleh dianggap “mala fide”
(berniat jahat) dan berkata dengan permohonan ini badan itu akan
terpaksa menjawab pertanyaan mereka.
“Tiada sebab untuk RoS melewatkan pendaftaran PH,” katanya.
Tindakan itu difailkan secara bersama oleh Saifuddin, Setiausaha Agung
DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Ahmad
Kerdee dan Shahruddin.
Pembentukan PH diumumkan tahun lepas - terdiri daripada PKR, DAP,
Amanah, dan PPBM. Parti-parti itu berhasrat untuk bertanding pada PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan