Sabtu, 10 Mac 2018

Kecuaian Azmin buat rakyat derita, kata Khalid Ibrahim

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyelar kerajaan negeri yang kini dipimpin Datuk Seri Azmin Ali sebagai cuai ekoran sehingga kini masih gagal mengambil alih Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).
 
Malah beliau mendakwa Azmin tidak serius langsung untuk berbuat demikian, apabila kerajaan negeri lebih memberi tumpuan tentang bagaimana mahu membayar lebih RM2.7bilion kepada SPLASH, dan bukannya untuk menyelesaikan isu air di Selangor.
 
"Ia adalah satu kecuaian yang jelas di pihak kerajaan negeri. 
 
"Kecuaian ini telah memberi ruang kepada pemegang saham SPLASH untuk mengaut lebih banyak untung sehingga mereka menjadi berani sebegini. 
 
"Seorang Menteri Besar sepatutnya berjuang untuk rakyat tetapi pergerakan mungkin terhad kerana terlalu kenyang hingga termuntah," katanya dalam satu status di laman sosial Facebooknya.
 
Lebih dua juta penduduk di sekitar Lembah Klang sekali lagi terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan air kali kedua untuk tahun ini, membabitkan 498 kawasan.
 
Gangguan itu berlaku disebabkan kerja-kerja pembaikan peralatan kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).
 
Kerja-kerja pembaikan itu dijangka selesai dalam masa 10 jam sahaja namun, berlaku insiden yang tidak diingini apabila sistem mampatan udara di loji berkenaan pecah.
 
Ia turut mengakibatkan lima kakitangan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) cedera termasuk seorang parah.
 
Lantaran itu, masalah bekalan air berlarutan sehingga hari ini.
 
Walau bagaimanapun, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd, beberapa kawasan yang terjejas kini mula pulih secara berperingkat.
 
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Abdul Raof Ahmad berkata, setakat pukul 7 pagi tadi, keseluruhan akaun yang terkesan adalah 73 peratus.
 
Namun katanya, bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air akan digerakkan secara berterusan ke kawasan-kawasan yang masih dalam proses pemulihan dan Pusat Khidmat Setempat diaktifkan sehingga bekalan pulih sepenuhnya.
 
 

Tiada ulasan: