Jumaat, 23 Mac 2018

Calon MB Selangor: PAS tunggu selesai PRU14

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor tidak akan menamakan calon Menteri Besar bagi parti itu sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi, kuasa untuk menentukan siapa yang bakal memegang jawatan tertinggi dalam negeri itu hanya layak ditentukan pihak istana selepas rakyat membuat pilihan pada PRU14.
 
"Kuasa untuk menamakan menteri besar itu ialah kuasa Tuanku jadi kita serahkan sahaja kepada Tuanku untuk memilih sesiapa sahaja menjadi menteri besar mengikut pertimbangan Tuanku.
 
"Kita juga tidak mahu orang kata kita tidak beradab, biar kita beradab.
 
"Soal (calon) layak atau tidak, itu kita serahkan sahaja kepada pertimbangan Tuanku, tetapi kita akan sediakan pemimpin yang terbaik," katanya kepada Antarapos.
 
Memetik kenyataan seorang pemerhati politik daripada laporan sebuah akhbar, Sallehen dianggap sebagai calon menteri besar yang paling layak untuk diketengahkan bagi PAS jika parti itu berjaya merampas Selangor daripada kerajaan yang kini dipimpin PKR.
 
Sallehen kini memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS di negeri itu menggantikan Datuk Iskandar Abdul Samad, sejak tahun lalu.
 
BN mahu yang terbaik untuk rakyat 
 
Mengulas lanjut berhubung perkara itu, ADUN Sabak itu berkata PAS Selangor akan mengetengahkan calon yang terbaik bagi PRU nanti.
 
Malah ujarnya, jika diberikan peluang untuk mentadbir kerajaan negeri, PAS nekad untuk terus bekerja secara berkumpulan bagi memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di Selangor.
 
"PAS tidak ada terasa sesiapa individu yang mahu jadi menteri besar sebab kerja PAS ialah untuk menyediakan kepimpinan, PAS menyediakan pemimpin yang baik dan berintegriti.
 
"Bukan kita bekerja seolah-olah seorang sahaja yang pandai manakala yang lain itu tidak, bukan, tetapi kita, PAS kalau diberi peluang kita akan bekerja secara berpasukan atas nama seorang menteri besar untuk menunjukkan kehebatan tetapi kerja berpasukan akan berlaku dalam kerajaan negeri," jelasnya lagi.
 
Calon menteri besar di Selangor kembali hangat selepas sebuah akhbar melaporkan Barisan Nasional (BN) sudah menamakan tiga calon Menteri Besar bagi parti itu untuk negeri Selangor.
 
Menurut sumber sebuah media tersebut, antara nama pilihan untuk memegang jawatan berkenaan adalah ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz dan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi,yang juga merangkap Ahli Parlimen Sungai Besar.
 
Mat Nadzari, adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dan Ketua Umno Hulu Selangor. Johan, pula Setiausaha UMNO negeri, selain Ketua UMNO Hulu Langat dan telah menjadi ADUN Semenyih sejak PRU-12 pada 2008.
 
Sementara Budiman, menang Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada Jun 2016 susulan kematian wakil rakyatnya, Noriah Kasnon yang terbunuh dalam nahas helikopter semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak pada 5 Mei, 2016.
 
BN kini menyandang 12 kerusi di DUN Selangor, dengan PH mempunyai 30 kerusi, PAS 13 dan seorang ADUN bebas.
 
 

Tiada ulasan: