KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dijangka melancarkan manifesto secara besar-besaran pada 7 April ini.
Memetik sumber yang dilaporkan BH Online, majlis pelancaran itu bakal diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Ini sekali gus memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
kemungkinan besar diadakan seawal akhir April atau awal Mei 2018.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dijangka
melancarkan manifesto itu di hadapan ribuan penyokong BN dari seluruh
negara.
Semua 13 pemimpin kanan parti anggota komponen BN, termasuk dari Sabah dan Sarawak, akan turut hadir.
Untuk rekod, PRU13, Najib melancarkan manifesto BN di Stadium Putra,
Bukit Jalil pada 6 April 2013, iaitu 28 hari sebelum hari mengundi.
Manakala pada PRU12, pelancaran manifesto BN dilakukan oleh Perdana
Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di PWTC, pada 28 Februari
2008, 11 hari sebelum mengundi.
Menurut laporan akhbar itu lagi, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar
Musa juga mengesahkan bahawa majlis pelancaran manifesto BN itu akan
diadakan bulan depan, tetapi enggan memberitahu tarikh sebenar.
Beliau cuma berkata, manifesto berkenaan mengandungi janji dan tawaran dengan matlamat yang jauh lebih baik.
"Tunggu nanti. Tak lama dah (pelancaran manifesto)... akan datang. (Manifesto) yang jauh lebih baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan