Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor dituduh dengan sengaja menyekat
aktiviti perniagaan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) selepas mengarahkan
semua agensi kerajaan negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar
tidak lagi mengadakan majlis rasmi di situ.
Penasihat dan Pengarah Syarikatnya, Lee Aik Chong berkata arahan
tersebut dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 1 Jun
2016.
Bagaimanapun, beliau baru sahaja mendapat tahu mengenai perkara itu
menerusi pekeling yang dihantar pekerjanya menerusi aplikasi WhatApps.
Menurutnya, misteri kerugian yang dialami syarikatnya sejak dua tahun
lalu akhirnya terjawab dan beliau menuntut menteri besar membuat
permohonan maaf dalam tempoh 14 hari, selain menarik balik arahan
tersebut.
"Malangnya kita ada Menteri Besar di Selangor yang telah mengeluarkan
memo yang cuba menyekat semua agensi kerajaan untuk tidak membuat
sebarang program dan menggunakan pusat konvensyen ini.
"Justeru saya telah membuat satu laporan polis (pada 26 Februari 2016)
terhadap Menteri Besar bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasanya
sebagai MB untuk melakukan perkara sedemikian," katanya kepada pemberita
di Pengasus Hotel di IDCC, Shah Alam.
Lee berkata Azmin mengeluarkan arahan sebegitu selepas pihak IDCC
memfaikan tuntutan ganti rugi terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
pada 6 April 2016 berkaitan kes undang-undang kerajaan tempatan.
Lee menambah, disebabkan arahan Azmin itu, ia menjejaskan periuk nasi kepada lebih 120 orang pekerja di premis itu.
"Beliau (Azmin) perlu mengambil kira bahawa rakyat perlu bekerja, jadi
di dalam bangunan ini saya ada lebih 100 pekerja, kita perlu cari makan
dan disebabkan keputusannya kita mengalami masalah kewangan selama dua
tahun malah kita tidak mampu membayar gaji dan bonus kepada para
pekerja.
"Saya harap selepas kenyataan ini dibuat, kerajaan negeri patut menarik
balik arahan (memo) yang telah dikeluarkan mereka, memohon maaf kepada
syarikat kami dan bantu kami membangunkan semula bisnes kami.
"Jika tidak, dalam tempoh 14 hari kami memutuskan untuk mengambil
tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan