Khamis, 1 Mac 2018

Apakah Malaysia akan tangkap Jho Low, soal Muhyiddin



Apakah Malaysia akan tangkap Jho Low, soal Muhyiddin
Satu dunia tau Jho Low pembohong, bukti ada, laporan pun sudah dikeluarkan, jadi kenapa tiada tindakan diambil, soal Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari,
 
PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mempersoalkan apakah kerajaan Malaysia akan menangkap Low Taek Jho, memandangkan Indonesia sudah menyita kapal layar ahli perniagaan terbabit.

"Satu dunia tau dia (Low) pembohong. Bukti ada, laporan pun sudah dikeluarkan," katanya di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan Indonesia boleh mengambil tindakan kerana terdapat laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang menunjukkan berlaku penyalahgunaan dalam dana pelaburan negara.

"Semua masalah puncanya dari Malaysia, jadi kenapa tiada tindakan diambil?

"Kapal layar itu sudah disita, sekarang bolehkah saman dikeluarkan untuk tangkap Low?"

Muhyiddin berkata Perdana Menteri Najib Razak perlu menjawab soalan-soalan seperti itu.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata rampasan itu amat bertentangan dengan Malaysia yang langsung tidak berbuat apa-apa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azmin mengalu-alukn rampasan itu dan menyifatkannya sebagai perkembangan terbaru dalam skandal 1MDB.

“Tajuk utama laporan berita Indonesia jelas menyatakan: Kapal Equanimity Dibeli dengan Uang Hasil Korupsi di Malaysia.”

“Rampasan kapal layar Equanimity menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 memberi gambaran apa yang berlaku dengan kemenangan Pakatan: Jho Low dan pelaku konspirasi kleptokrat akan dihadapkan ke muka pengadilan dan segala aset curi yang jumlahnya berbilion ringgit akan dibawa ke Malaysia dan dikembalikan semula untuk membantu rakyat.”

Semalam, pihak berkuasa Indonesia menyita kapal layar Low yang bernilai RM1 bilion yang DoJ dakwa dibeli menggunakan wang 1MDB.

Kapal layar bernilai AS$260 juta itu dibeli oleh Low, yan menjadi sekutu perdana menteri Malaysia dan didakwa DoJ sebagai dalang dalam skim mencuri wang 1MDB.

Ahli perniagaan dalam pelarian itu semalam menuduh DoJ bertindak melampaui batas, selepas tindakan rampasan itu.

DoJ telah memulakan siasatan jenayah ke atas dakwaan penyalahgunaan dana daripada 1MDB dan pada September telah dibenarkan untuk menangguhkan saman sivil yang difailkannya sejak dua tahun lepas bagi merampas hartanah dan aset lain bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion).

Dalam kes saman sivil tersebut, jabatan berkenaan mendakwa, lebih AS$4.5 bilion dana milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai tertinggi syarikat pelaburan tersebut bersama-sama rakan subahatnya pada 2009 hingga 2015.

Pada Jun, DoJ memfailkan lagi saman untuk merampas AS$540 juta aset, termasuk Equanimity dan hak filem Dumb and Dumber To, yang dihasilkan Red Gradnite, sebuah rumah produksi yang turut dimiliki anak tiri Najib, Riza Aziz.

Tiada ulasan: