Sabtu, 3 Mac 2018

20 NGO Islam ikrar sokong parti lawan sekularisme pada PRU14



20-NGO-Islam-ikrar-sokong-parti-lawan
Dari kiri AJK Pusat PUM Prof Madya Saufi Man, Presiden ACCIN, Jamaluddin Samsudin dan YDP PUM Datuk Abdul Halim Abd Kadir.


KUALA LUMPUR: Dua puluh NGO Islam hari ini berikrar akan menyokong parti politik yang membawa agenda melawan fahaman sekularisme, liberalisme dan pluralisme pada pilihan raya umum ke-14.

Gabungan NGO itu, termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Pertubuhan Ikram dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata 3 perkara itu “ancaman sebenar” yang perlu ditangani secara berkesan pada penggal kerajaan akan datang.

Bagi tujuan itu, Gabungan Perikatan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) mengumumkan deklarasi 10 perkara, yang akan dihantar kepada semua parti-parti politik termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Pemimpin politiklah yang berkuasa jadi perkara ini tidak boleh dipandang remeh,” kata Presiden Jamaluddin Samsudin di Seminar Kepimpinan Negara Ke Arah Kecemerlangan Masyarakat di Universiti Malaya hari ini.

Deklarasi itu antaranya mahu kerajaan membanteras “fahaman salah” yang berselindung di sebalik “topeng liberalisme dan pluralisme agama” melalui pemerkasaan pendidikan Islam di segenap peringkat.

“Fahaman-fahaman ini boleh menjerumuskan seseorang kepada sikap skeptik terhadap Islam yang akhirnya menjurus kepada gejala murtad tanpa sedar,” kata ACCIN.

Deklarasi itu juga mahu kerajaan menangani kemasukan ekstremis agama, gerakan mempelopori murtad dan kelompok evangelis yang menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam secara maksimum.

Ia juga memuatkan teguran daripada NGO-NGO yang mewakili masyarakat sivil. “Kita tahu keadaan dan perlu kepada menyuarakan pendirian kita secara objektif,” kata Jamaluddin.

Tiada ulasan: