Rabu, 20 Februari 2019

PSYWAR RENCATKAN HUBUNGAN UMNO-PAS

Wartawan Watan-Online

Pengundi UMNO dan jentera parti diingatkan untuk tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dakyah terutama ‘psywar’ mengenai kerjasama dengan PAS.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polemik yang berlaku membuktikan kegusaran Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini.

“Sebab itu tidak hairan apabila Perdana Menteri membuat pengumuman bagi pihak PAS dan mereka sebenarnya tersepit.

“Jadi kepada semua saya menyeru kepada seluruh jentera parti serta pengundi jangan terpengaruh strategi ‘psywar’ yang dimainkan oleh PH untuk memecahbelahkan antara UMNO dengan PAS,” katanya kepada media selepas meluangkan masa dalam program Kacau Dodol bersama Puteri UMNO di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kuala Pajam, Semenyih pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen UMNO Bera berkata wujud aduan dalam kalangan penduduk Semenyih terhadap kesalahan dibuat PH dalam kempen di kawasan terbabit meskipun tempoh berkempen baru memasuki hari kedua.

“Difahamkan di PDM Kuala Pajam mereka mengedarkan sayur kepada pengundi dan jelas ini merupakan satu tindakan membeli undi, rasuah politik yang tidak sepatutnya berlaku dan saya percaya ini kerana terdesak dan makin tersepit dengan keadaan apa yang ada hari ini, maka sebab itulah mereka lakukan.

“Ini baru hari kedua dan banyak lagi perkara-perkara yang mereka akan lakukan… saya harap orang kita bersabar, jangan terikut-ikut dengan sikap mereka dan kita patuh undang-undang, jangan terikut-ikut dengan tindakan mereka.

“Saya nasihatkan jika tindakan mereka menyalahi Akta Pilihan Raya maka kita dapatkan bukti dan buat laporan polis segera supaya tindakan mereka tidak berlalu begitu sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: