SEMENYIH: Pengundi di kalangan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Semenyih seharusnya menjadikan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu sebagai referendum untuk menolak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tergesa-gesa hendak melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, ia berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang melihat keperluannya untuk meningkatkan keupayaan dan profesionalisme PDRM melalui pelbagai kaedah lain, berbanding penubuhannya kerana berkaitan isu disiplin.
"Apa perlunya IPCMC? Saya ingin bertanya kepada Kerajaan PH terutamanya Latheefa Koya yang sibuk sangat hendak melaksanakan idea ini?
"Kalau hendak melihat kepada hal rasuah, adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melakukan tugasan mereka dengan baik?
"Kalau hendak bercakap soal disiplin, PDRM sudah mempunyai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mereka sendiri. Sudah tentu Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan sentiasa memantau anggotanya" katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersetuju supaya
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diperkasakan dan dikenali sebagai IPCMC.
Selain itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya juga menyambut baik langkah kerajaan untuk mewujudkan IPCMC, dan menyifatkannya sebagai sudah lama tertunda.
Latheefa juga berharap, suruhanjaya itu diberikan kuasa yang diperlukan dan benar-benar bebas dalam melaksanakan fungsinya.
Dalam pada itu kata Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat, isu-isu berkaitan PDRM boleh dibincangkan di Parlimen.
"Jadi tidak ada keperluan untuk menubuhkan IPCMC seperti Australia, United Kingdom (UK) dan negara-negara Barat lain.
"Kerajaan sepatutnya membela nasib anggota PDRM dan bukannya menekan mereka sehingga bertambah susah untuk melaksanakan tugasan.
"Kalau benar mereka mahu membela PDRM, berikan fokus kepada soal kebajikan, peralatan kepolisan, perumahan serta kuarters. Hal-hal ini lebih penting dari penubuhan IPCMC," jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Bastien melihat kerajaan PH memalukan Mohamad Fuzi dengan butiran sebuah syarikat ramalan nombor menaja rombongan kerja pasukan keselamatan ke Turki baru-baru ini.
BACA: KPN nafi berhibur di Turki
"Walhal itu adalah bajet dari Kementerian Kewangan yang ditabung oleh syarikat-syarikat perjudian bagi menampung sebarang kos berkaitan industri perjudian di negara ini.
"Saya melihat pendedahan sumber ini sebagai sesuatu yang memalukan PDRM kerana ini bukan pertama kali lawatan kerja sebegini dibuat," katanya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, lawatan PDRM yang diketuai oleh Mohamad Fuzi ke Turki dibayar oleh syarikat nombor ramalan itu untuk tujuan mempelajari teknik membanteras judi dalam talian.
Menurut Guan Eng, walaupun lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator sebuah agensi bawah Kementerian Kewangan perbelanjaannya bukan daripada kerajaan.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak mengetahui perincian mengenai lawatan itu yang dibayar oleh sebuah syarikat nombor ramalan.
Beliau berkata, secara prinsipnya lawatan itu tiada sebarang masalah dan tugasnya sebagai menteri bertanggungjawab ke atas PDRM akan menilai terlebih dulu permohonan sebelum sebarang kelulusan lawatan ke luar negara diberikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan