Memaparkan catatan dengan label PRK - SEMENYIH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - SEMENYIH. Papar semua catatan

Selasa, 2 April 2019

Pengundi fail rayuan batal keputusan PRK Semenyih

Sabariah Mohd Shariff dalam saman pemulanya berkata, SPR 
tidak boleh mengadakan PRK sehingga semua anggotanya dilantik 
Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang wanita memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk menerbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak samannya bagi menghentikan pilihan raya kecil Semenyih diadakan bulan lalu.

“Beliau mengarahkan kami memfailkan rayuan kerana ia membabitkan isu asas Perlembagaan,” kata peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Sabariah Mohd Shariff, 58.

Beliau berkata, keputusan PRK Semenyih boleh dibatalkan dan PRK baru boleh diadakan, jika rayuan itu dibenarkan.

Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes pada 24 April ini.
Pada 25 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, S M Komathy menolak saman pemula dan memutuskan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun boleh mengumumkan tarikh pencalonan dan pengundian bagi PRK Semenyih secara bersendirian.

Komathy membuat keputusan itu selepas merujuk kes peguam negara dan Nurul Izzah Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh ketika ini, di mana Mahkamah Rayuan memutuskan SPR boleh terus berfungsi secara sah, walaupun tidak mempunyai 7 anggota suruhanjaya.

PRK Semenyih dimenangi calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi yang mendapat 19,780 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali yang hanya meraih 17,866 undi.

Dua lagi pencabar ialah calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas, Kuan Chee Hong yang sekadar memperoleh 847 undi serta 725 undi.

Sabariah yang juga pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri Semenyih, menerusi saman pemulanya memohon perisytiharan mesyuarat SPR pada 18 Januari lalu yang dipengerusikan Azhar tanpa kehadiran timbalan pengerusi dan 5 anggota, tidak sah dan terbatal.

Wanita itu berkata, tindakan Azhar melanggar Parkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, SPR tidak boleh mengadakan sebarang PRK sehingga semua anggotanya dilantik Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Othman Mahmood, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, K Bala Singam dan Leo Chong Cheong meletak jawatan sebagai pesuruhjaya SPR, tetapi peletakan jawatan mereka hanya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pada 18 Januari lalu, Azhar mengumumkan PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac dan hari penamaan calon pada 16 Februari lalu.

Kerajaan hanya mengumumkan pelantikan 5 anggota baru, iaitu Azmi Sharom, Ramlan Ibrahim, Chin Phaik Yoong, Faisal S Hazis dan Zoe Randhawa pada 14 Februari lalu.

Ahad, 3 Mac 2019

Perpaduan UMNO-PAS belum kukuh, perlu akrab lagi: Isma

Oleh Siti Fatimah Ishak

 PH kena terima sikap rakus DAP punca kekalahan di Semenyih



BANGI- Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, memberi petanda jelas bahawa perpaduan antara UMNO dan PAS telah menghasilkan kejayaan.

Peranan PAS diakui sangat besar dalam menentukan kejayaan calon BN, namun kerjasama kedua-dua parti ini masih lagi tidak kukuh dan perlu diakrabkan lagi, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Sambil mengucapkan tahniah, beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengingatkan, kemenangan BN bukan kerana hebatnya calon atau polisi parti itu, tetapi lebih kepada rakyat sudah tidak mahukan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji.

“Ia lebih kepada sentimen bukan ‘substance’ BN. Maka, BN harus ingat sokongan ini bukan kekal, malah sangat rapuh dan bila-bila masa boleh bertukar jika sikap dan perangai sama seperti dahulu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

BN menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Mengulas lanjut beliau percaya sikap kerajaan PH, yang diterajui parti tamak haloba, DAP yang rakus dan sombong telah ‘memakan diri’ dengan kekalahan di Semenyih. 

Justeru, katanya, jika perpaduan Melayu dikekalkan, tidak mustahil BN dan PAS akan memerintah kembali, tetapi kali ini janganlah kerana sentimen, tetapi biarlah kerana sikap dan pemikiran wakil rakyat UMNO yang berubah.

“Kita tidak mahu orang Melayu rasa semakin terpinggir, agama Islam makin tertekan. Kita minta kerajaan perlu berwaspada, dalam nak menjaga hati orang Cina, jangan sekali-kali menggiris hati orang Melayu,” katanya.


Semenyih bawa maksud kebangkitan rakyat

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional di Semenyih membawa maksud yang besar iaitu kebangkitan rakyat, kata Pengerusi BN Selangor, Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan.
 
“Kami menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kemenangan yang tidak dijangka di saat kami berdepan jentera kerajaan negeri dan pusat serta gabungan politik Pakatan Harapan yang begitu angkuh dan sombong dengan kuasa dan mandat yang diterima mereka pada PRU14 lalu.
 
“Namun kami menjadikan perkara itu sebagai dorongan dan panduan untuk kami menjalankan kempen dan meraih undi secara bebas, telus dan berintegriti,” ujarnya dalam kenyataan, malam tadi.
 
Beliau berkata, pihaknya tidak menjanjikan bulan dan bintang termasuk tol percuma waima kereta terbang sekalipun kepada pengundi di Semenyih, sebaliknya calon BN, Zakaria Hanafi yang dipertaruhkan untuk menjadi suara rakyat bukan sahaja di Semenyih tetapi di Selangor dan Malaysia.
 
Ini, katanya untuk menjadi manifestasi bahawa kuasa dan mandat yang diberi kepada PH pada PRU14 lalu bukan saja-saja.
 
Justeru, ujarnya PH jangan berterusan beretorik mengatakan baru sembilan bulan menjadi kerajaan, semuanya salah kerajaan terdahulu, tidak sangka boleh menang dan alasan demi alasan untuk menghalalkan pembohongan.
 
“Mari kita menuntut segala janji yang telah dibuat kepada rakyat bermula dari PRU14 sehingga PRK 
 
kali ini oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah PH,” katanya lagi.
 
Tambahnya, PH perlu membuktikan dengan pelaksanaan terhadap apa yang telah dijanjikan untuk Semenyih dan jangan anak tirikan Semenyih selepas ini kerana kalah.
 
Apapun, ujarnya BN Selangor komited untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri dengan lima Adun BN dan satu daripada PAS.
 
Menurutnya, mandat yang diberi kepada Zakaria tidak akan disia-siakan dan percayalah BN Selangor komited menjadi pembangkang yang efisien dan tegas dalam membawa suara rakyat.
 
Beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN, PAS serta NGO bebas yang bertungkus-lumus sejak hari pertama bagi memastikan kemenangan BN.
 
“Kepada 19,780 yang mengundi kami termasuk juga 17,866 yang mengundi PH, Zakaria akan menjadi wakil rakyat anda yang berkesan,” ujarnya.
  
Pada PRK Semenyih yang diadakan semalam, calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 undi, Muhammad Aiman Zainali (PH) mendapat 17,866 undi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng (725 undi). – HARAKAHDAILY 


Dr M akui kerjasama Umno - PAS menangkan BN di Semenyih


   
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengakui kerjasama antara Umno dan PAS telah membawa kemenangan kepada BN pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

"Kali terakhir kami menang (kerusi DUN Semenyih) pada pilihan raya umum ke-14 adalah kerana PAS dan Umno terbahagi dan oleh itu, mereka tidak dapat mencapai jumlah yang baik," katanya kepada media dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Landskap Kebangsaan 2019 di Putrajaya.

Bagaimanapun, Mahathir menegaskan hubungan tidak akan memberi manfaat kepada PAS pada pilihan raya umum akan datang.

"Mereka boleh kerjasama dalam PRK. Kerana menang kalah tak penting. Tapi dalam PRU mereka tak boleh kerjasama. Kalau kerjasama, PAS tak ada apa-apa lah," katanya.

Semalam BN menguasai semula Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi PRK berkenaan dengan memperoleh majoriti 1,914 undi.

Zaakria memperoleh 19,780 undi mengatasi calon PH, Muhammad Aiman ​​Zainali (17,866 undi), calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon bebas Kuan Chee Heng (725 undi).

Sabtu, 2 Mac 2019

Jika menang PRK Semenyih hadiah hari lahir paling bermakna – Zakaria

Muhammad Azizul Osman
MGF020319_HARI-MENGUNDI06-681x454
Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi bersama isteri, Katijah Beebi Bayikhan membuang kertas undi ke dalam peti undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang. foto SYAFIQ AMBAK
 

SEMENYIH – Calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi selesai mengundi di Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang kira-kira lima minit selepas pusat pengundian dibuka.

Zakaria ditemani isterinya Katijah Beebi Bayi Khan, 50 mengundi di saluran satu.

Sementara ketiga-tiga anaknya turut mengundi di tempat sama di saluran dua.

Zakaria berkata,  sekiranya beliau menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, ia merupakan hadiah hari lahir paling bermakna buat beliau dan keluarga.

“Harap kemenangan di PRK Semenyih menjadi hadiah hari lahir paling bermakna buat saya pada Isnin nanti,” katanya kepada media selepas mengundi di Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi, sebentar tadi.

Sementara itu, proses pengundian di Pusat Daerah Mengundi Sesapan Kelubi berjalan lancar.

Menurut Zakaria, beliau bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan calon PRK selain lega dengan perjalanan pengundian yang lancar.

“Nampaknya para pengundi datang awal. Saya ingat yang paling awal, tapi ada lagi pengundi yang awal.

“Sambutan dan semangat para pengunjung di PDM Sesapan Kelubi ini nampaknya begitu berkobar-kobar menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya harap para pengundi dapat membuat pilihan yang tepat,” katanya lagi.

Pusat pengundian Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi di Berang mula dibuka jam 8 pagi dengan hanya dua saluran.

Sejumlah 917 pengundi dicatatkan, yang mana pengundi saluran satu sebanyak 300 pengundi sementara pengundi saluran dua sebanyak 617. -MalaysiaGazette

Aiman sudah lupa bukan waktu berkempen, rayu undi?

MalaysiaGazette
MGF020319_HARI-MENGUNDI_06-681x454
Calon Pakatan Harapan PRK N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali bergambar bersama nombor saluran mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI,
 

SEMENYIH –  Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali didapati masih merayu undi di Pusat Daerah Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain Kampung Baru.

Itu senario yang berlaku ketika Aiman bercakap kepada lebih 30 pemberita di dalam pusat mengundi selepas selesai melaksanakan tanggungjawabnya sekitar 8.18 pagi tadi.

“Alhamdulillah saya selesai mengundi dan menyantuni sebahagian daripada pengundi pagi ini dan kita lihat kelancaran proses undi amat baik dan berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menjalankan tugas dengan baik.

“Dan Insyallah pengundi dapat membuat pemilihan yang bijak untuk menentukan nasib Semenyih dan memberi kebaikan kepada rakyat semenyih.

“Saya berharap mereka semua mengundi Pakatan Harapan…mengundilah Aiman Zainali,” katanya kepada wartawan di sini.

Ditanya tahap keyakinannya untuk menang hari ini Aiman berkata, setakat pemantauannya pagi tadi sambutan pengundi baik.

Tidak pasti sama ada Muhammad Aiman sedar atau tidak tentang peraturan SPR yang tidak membenarkan sebarang bentuk kenyataan berbaur merayu undi pada hari mengundi selepas tempoh kempen tamat pukul 12 tengah malam tadi.

Kenyataan itu juga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan wartawan yang bertugas di lokasi.

Apakah Aiman tidak diberi taklimat oleh pemimpin atau pegawai dari PH yang mengikutinya kerana apa yang terkeluar dari mulut Aiman sebenarnya telah menyalahi Akta SPR 1954.

Apakah Aiman sendiri sebagai calon tidak menyedari apa yang dikatakannya kepada media iaitu mengharapkan pengundi undi PH dan undi Aiman Zainali merupakan satu perlanggaran peraturan mengikut Seksyen 26 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seksyen itu menyebut dengan jelas ‘no person campaign on polling day’.

Pengiring daripada Armada PPBM hanya mendekati Aiman selepas dia selesai bercakap kepada pemberita hari ini sebelum beredar sekitar 8.57 pagi tadi.

Cuaca pagi ini di Semenyih baik tetapi agak panas menyebabkan kebanyakan pengundi keluar mengundi awal sejak 8 pagi lagi.

Seramai 2,326 pengundi berdaftar di SMK Engku Husain dijangka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini untuk memilih wakil DUN mereka.

PRK Semenyih diadakan sebagai mengisi kekosongan kerusi itu selepas penyandangnya Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Menantunya Aiman diangkat sebagai calon PH yang berdepan persaingan empat penjuru dari calon BN Zakaria Hanafi, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas yang dikenali sebagai Pakcik Kentang.-MalaysiaGazette

Pengundian PRK Semenyih bermula

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEMENYIH: Sebanyak 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 11 Jan lepas.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Jan 2019, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Semenyih mempunyai 53,520 pemilih biasa namun 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.

Sebanyak 996 kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas di pusat-pusat mengundi berkenaan.

Pusat penjumlah rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK DUN Semenyih ialah di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu adalah kira-kira 70 peratus dan keputusan pengundian dijangka diumumkan sebelum 10 malam.

Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak 16 Feb lepas berakhir 11.59 malam tadi.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali daripada PH, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Ia adalah PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).

Jumaat, 1 Mac 2019

Kajian: BN boleh menang, PH perlu formula ajaib

MALAYSIAKINI

   

PRK SEMENYIH | Tinjauan yang dijalankan badan kaji selidik, Ilham Centre terhadap 378 responden mendapati BN mampu melakukan kejutan pada pilihan raya kecil Semenyih yang berlangsung esok.

Dapatan itu diperoleh menerusi kajian dilakukan secara tatap muka bermula pada 26-28 Februari lalu meliputi segmentasi kaum, jantina, umur pengundi dan lokaliti.

Berdasarkan kaji selidik itu antara lain mendapati calon Pakatan Harapan (PH), Aiman Zainali dilihat tidak mempunyai aura yang cukup untuk menggalas tugas sebagai calon parti kerajaan.

"Tahap penerimaan pengundi terhadap calon (PH) berada pada paras 34.4 peratus merupakan aras yang menunjukkan calon ini tidak mampu menyakinkan pengundi yang ditemui dalam kajian ini," kata Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal.

Ini katanya menyebabkan perhatian menyebelahi calon BN Zakaria Hanafi, selain kematangan calon menjadi kayu ukur dan penilaian pengundi.

Menurut Ilham, selepas PRK Cameron Highlands, momentum kemenangan BN juga berjaya menyuntik semangat jentera parti itu untuk memberikan tekanan kepada PH pada PRK Semenyih.

Pengundi Melayu beralih arah

Sebagai oposisi, katanya, titik serangan BN tertumpu kepada membangkitkan kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji manifesto mereka.

"Elemen perkauman dan agama melengkapkan ramuan untuk memulihkan sokongan pengundi Melayu yang beralih arah pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.
Sementara itu pengundi pula lebih tertarik kepada isu melibatkan perkembangan dalam negara dan kerajaan sebanyak 73.3 peratus berbanding 26.7 peratus melibatkan isu-isu tempatan.

Cadangan kerajaan PH menggantikan tol di empat lebuh raya dengan caj kesesakan serta pemberian tol percuma antara jam 11 malam hingga 5 pagi – juga tidak mengujakan responden yang ditemui.

"Sebanyak 61.4 peratus menyatakan mereka tidak teruja dengan pengumuman tersebut dan bakinya menyambut baik inisiatif kerajaan ini.

"Selain itu, 74.6 peratus responden bersetuju bahawa kerajaan PH gagal menunaikan janji manifesto dan 58.7 peratus bersetuju bahawa kerajaan PH gagal membela Melayu-Muslim sejak mengambil alih kerajaan persekutuan," katanya.
 
PH perlukan formula ajaib

Berbeza dengan BN, PH pula kelihatan bergelut untuk mempertahankan undi pengundi Melayu di Semenyih kerana beberapa faktor.

"PH sekarang ini memerlukan formula ajaib iaitu peratus keluar mengundi dan aras sokongan pengundi kekal sebagaimana PRU-14 yang lalu.

"Sekiranya perkara ini tidak berlaku, BN mampu menang tipis di Semenyih," kata Azlan.

Kaji selidik dijalankan itu  juga mendapati strategi PH tidak berkesan dan terlalu defensif melibatkan jentera, calon yang ditampilkan malahan isu-isu yang diketengahkan.

Selain bergantung kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam memobilisasi gerakan kempen, kehadiran pimpinan PH yang lain juga tidak memberikan impak besar kepada pengundi.
Sementara itu, Calon PSM dan Bebas pula tidak berjaya meraih sokongan kerana tumpuan hanya diberikan kepada dua parti terbesar yang mengambil tempat dalam pilihan raya kecil itu.

84 peratus pengundi PAS undi BN

Selain itu, kempen “Bossku” juga berjaya meraih perhatian masyarakat setempat apabila 56.6 peratus bersetuju bahawa kempen Najib Razak di Semenyih memberi kesan positif kepada BN.

"Gerakan bersendiri Najib Razak di dalam kempen di Semenyih menjadi nilai tambah dan pelengkap kepada BN secara tidak langsung malah boleh dikatakan kempen ini cukup signifikan untuk membantu BN di sini," kata Azlan.

Sementara itu rata-rata ahli dan penyokong PAS yang ditemui bersedia untuk memberi undi kepada BN meskipun parti Islam itu dilihat tidak agresif menyerang PH dan presidennya, Abdul Hadi Awang tidak turun membantu kempen BN.

"Isu sentimen Melayu-Muslim menjadi pendorong utama mereka dalam melakukan perubahan undi selain arahan daripada pimpinan PAS walaupun pada mulanya signal yang berbeza daripada pimpinan tertinggi PAS.

"Meskipun demikian, menerusi kajian lapangan yang kami lakukan, terdapat kira-kira 84 peratus pengundi PAS dalam PRU-14 bersedia untuk mengundi BN dalam pilihan raya kecil kali ini," ujarnya.


Azmin tak setuju kajian Ilham Centre, yakin PH menang


    PRK SEMENYIH | Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata beliau tidak bersetuju dengan kaji selidik dijalankan Ilham Centre yang mendakwa BN mungkin menang pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

"Saya tidak bersetuju, saya yakin dan optimis dengan prestasi Harapan di Selangor dan kami akan terus mengekalkan Semenyih.

"Tinjauan yang dijalankan oleh kumpulan berlainan (tetapi) pada akhirnya rakyat akan memutuskan berdasarkan prestasi kerajaan dan parti politik," katanya kepada media ketika kempen di Sungai Jai di Semenyih hari ini.

Terdahulu Ilham Centre hari ini meramalkan BN akan merampas semula kerusi DUN Semenyih pada pilihan raya kecil yang berlangsung esok. BN menguasai kerusi itu sejak tahun 1959 sehingga pilihan raya umum yang lalu.

Ilham merumuskan PH memerlukan "formula ajaib" bagi memenangi PRK berkenaan terutama dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

Azmin sebaliknya berkata PH tidak memerlukan formula berkenaan kerana telah bekerja keras dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini di Selangor.
Sementara itu, Azmin menafikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkhianati orang Melayu di Selangor.


Sebaliknya kata Azmin, Melayu di Selangor adalah yang paling maju dan berjaya dibandingkan dengan penduduk di negeri-negeri lain.

'Ada pihak takutkan Melayu di Semenyih'

"Ada pihak yang datang ke Semenyih bawa pelbagai propaganda fitnah, supaya orang Melayu terutamanya umat Islam jangan dekat dengan PH.

"Mereka menakutkan orang Melayu, seolah-olah PH ini khianat pada orang Melayu dan umat Islam. Seolah-oleh PH ini dikuasai oleh DAP.

"Inilah yang dicanangkan oleh mereka yang turun di Semenyih untuk meraih undi daripada orang Melayu.

"Makcik pakcik saya nak beritahu, Selangor ini alhamdulillah, ini sebuah negeri pelbagai kaum pelbagai agama.

"Kita telah berada di Selangor ini puluhan tahun, ini bukan sebuah negeri yang 100 peratus Melayu dan umat Islam. Ada orang Cina, India, (dan) majoriti Melayu," katanya.

Tambahnya sekiranya Selangor tidak stabil, sudah pasti ramai pelabur tidak datang ke negeri itu dan golongan muda tidak mempunyai pekerjaan berpendapatan tinggi.

Khamis, 28 Februari 2019

Kalau Aiman tak buat kerja, kita adi sama dia – Anwar

Kumara Sabapatty
xMGF27022019_Malam-Kebudayaan-Komuniti-India_11-681x454
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Malam Kebudayaan Komuniti India sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Bandar Rinching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

SEMENYIH – Pengundi India diminta supaya memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Muhammed Aiman Zainali dalam PRK DUN Semenyih.

Presiden PKR, Datuk seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada  Malam Kebudayaan bersama Pengundi India Semenyih PH berkata, mesej itu penting untuk PH memastikan agenda Semenyih diangkat ke peringkat negeri dan tidak diketepikan.

“Kita kadang-kadang cepat lupa..kalau Najib (Razak) turun di sini nanti Muniandy ke siapa nampak dia terus cium tangan..oh kadavule (ya Tuhan).

“Satu dunia tahu kejutan yangberlaku pada PRU-14 lalu yang mana UMNO BN dijatuhkan oleh PH.

“Tapi kawan kawan (mansyarakat India) pastikan jangan membenarkan kerosakan dahulu (BN) berulang kali ini di negeri ini yang mana kekayaan harta dan wang dicuri bukan satu sen tapi ribu-ribu,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau sedar keluhan rakyat mengenai kenaikan barang dan sebagainya.

“Dua tiga hari tak boleh selesai tapi sedikit sedikit boleh bawa kebaikan perubahan dibawah kepimpinan Tun M (Mahathir Mohamad).

“Itu sebabnya Semenyih mesti menang dan dipertahankan oleh PH. Saya mau tengok pada hari undi percaya muka muka undi masyarakat India di sini beri sokongan paling kukuh.

“Aiman mahu jadi wakil rakyat bukan curi tanah dan bukan projek masuk poket kalau dia buat itu nanti kita ‘adi’ (pukul) sama dia (berseloroh),” katanya lagi.

Menurutnya lagi di Port Dickson beliau memperoleh sokongan undi orang India yang cukup tinggi dan mahu aura sama diterjemahkan oleh pengundi India di Semenyih pada 2 Mac ini.

“Aaya salute (tabik) mereka (pengundi India) sokongan undi paling tinggi hampir 80 peratus di PRK Port Dickson lalu. Saya nak di Semenyih begitu juga,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Mohammaddin teruja sehingga lupa sedang berkempen

Muhammad Azizul Osman
SEMENYIH – Datuk Mohammaddin Ketapi terlalu teruja untuk membantu penduduk Semenyih hingga terlupa beliau sebenarnya turun berkempen untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Saya rasa dia tidak pasti kerana terlalu berjiwa rakyat dan terlupa bahawa dia sedang berkempen untuk PRK,” kata Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, katanya, Mohammaddin peka tentang kesilapan itu dan tanpa berdalih beliau meminta maaf yang merupakan budaya pemimpin baharu.

“Kita salah dan minta maaf. Tidak payah nak berdalih,” katanya kepada media selepas bersama calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang berkempen di Kampung Baru Semenyih pagi tadi.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menarik semula peruntukan RM80,000 yang diumumkan untuk kerja menambaik dewan serbaguna Dewan Haji Md Silin di Beranang.

Penarikan itu dibuat selepas beliau menyedari tindakannya menyalahi akta ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan ketika ini merupakan tempoh berkempen bagi PRK DUN Semenyih.

Mohammaddin berkata, beliau tidak berniat mengganggu suasana kempen PRK Semenyih yang sedang berlangsung dengan melanggar akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -MalaysiaGazette

PRK SEMENYIH: PEMINJAM AIM DIPAKSA UNDI PH

Wartawan Watan-Online

Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menggunakan taktik kotor dan terdesak apabila memaksa peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk mengundi calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal berlangsung 2 Mac ini.

Ketua Wanita UMNO Hulu Langat, Ruhani Kasim berkata tindakan PH merupakan sesuatu yang tidak rasional dan tidak demokrasi.

“Saya hari ini menemani pengadu yang merupakan pengundi di sini. Menurut pengadu, dia telah menerima satu panggilan telefon daripada ketuanya dalam AIM untuk mencari sebuah rumah dengan tujuan mengumpulkan semua peminjam dan ahli keluarga untuk dipaksa mengundi PH.

“Setiap pengundi mempunyai hak untuk mengundi siapa sahaja yang mereka suka. Tidak perlu mereka ini dikurung dan dipaksa,” katanya kepada media sejurus membuat laporan polis mengenai kes tersebut di Balai Polis Kajang pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ruhani berkata laporan polis akan terus dibuat sekiranya mendapat maklumat mengenai individu lain yang turut dipaksa mengundi PH.

“Kita juga akan terus membuat laporan polis bila kita dapat mengumpulkan peminjam lain yang turut dipaksa.

“Ini adalah satu tindakan terdesak PH yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.


Wanita dakwa dipaksa undi calon PH buat laporan polis

Muhammad Azizul Osman
xMGF280219_PC-POLIS-PRK04-681x454
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Balai Polis Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 
 

SEMENYIH – Seorang wanita yang juga pengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih membuat laporan di Balai Polis Semenyih semalam selepas mendakwa menerima ancaman daripada pihak-pihak tertentu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah.

“Pengadu merasakan diri dan ahli keluarga terancam kerana didakwa ada unsur paksaan mengundi. Kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu pengaruh tidak wajar,” kata Mohd Sabri dalam sidang media harian di Balai Polis Semenyih, hari ini.

Menurut beliau, pengadu yang berusia 40 tahun itu membuat laporan itu pada jam 2.27 petang kerana dipaksa untuk mengundi Pakatan Harapan (PH).

Wanita itu didakwa dalam proses membuat pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sebenar pengadu wanita ini ingin membuat pinjaman melalui agensi kerajaan dan masih dalam proses mendapatkan pinjaman tersebut.

“Dalam laporan polis, pengadu berkata, kakitangan agensi kerajaan ini telah menetapkan syarat tertentu dan tidak boleh dinyatakan kerana masih dalam siasatan,” jelas Mohd Sabri lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga hari ini 11 kertas soalan sudah dibuka oleh polis.

Ini termasuk satu laporan polis daripada calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi berhubung kain-kain rentang berunsur provokasi yang digantung di sekitar Semenyih.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 35 laporan polis telah diterima pihaknya dalam pelbagai laporan.

Mohd. Sabri berkata, sejak kempen bermula 16 Februari lalu sehingga kini sebanyak 314 permit ceramah telah dikeluarkan polis untuk parti politik dan calon bertanding.

Paling banyak diterima adalah daripada PH dengan 161 permit, BN dengan 135 permit, PSM 10 dan calon Bebas 8. -MalaysiaGazette

‘Pemimpin Umno guris hati keluarga empat bekas Adun Selangor’

MALAYSIAKINI

   
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah kesal dengan kenyataan Ketua Umno Bahagian Puchong Mohamed Satim Diman yang mengaitkan kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Sambil menggesa pemimpin Umno itu menarik balik kenyataannya, katanya, kenyataan yang sangat tidak wajar itu telah disampaikan oleh bekas ketua pembangkang Selangor tersebut ketika memberi ceramah umum BN dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, malam tadi.

“Saya percaya kenyataan yang dangkal itu telah mengguris hati keluarga empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang telah kehilangan insan yang mereka cintai.

“Justeru, saya menggesa Datuk Mohamed Satim Diman untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada anggota keluarga empat wakil rakyat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Borhan, sebagai seorang ahli politik beragama Islam, Mohamed Satim seharusnya memahami konsep qada’ dan qadar yang terkandung di dalam Rukun Iman dan tidak menggunakannya sebagai modal politik sempit ketika kempen pilihan raya.

Malaysiakini, awal pagi tadi melaporkan Mohamed Satim sebagai berkata, semua PRK di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan kini di Semenyih melibatkan kematian wakil rakyat daripada PH dan bukan daripada BN.

Beliau berkata Allah telah memberi amaran sejak (PRK) Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

“[...] Yang hairannya, yang meninggal tu siapa? Wakil rakyat mana? Wakil rakyat PH. Bukan wakil rakyat BN.

“Jadi di situ sebenarnya Dia (Allah) memberikan amaran yang pertama, BN kalah di Sungai Kandis. Tak apalah, pasal belum nampak. Lepas tu ke Seri Setia pun kalah juga, tak apa.

“Allah kata agak-agaknya orang Islam di Malaysia ni tak faham lagi ke? Dia meninggalkan (mematikan) dekat Balakong. Pun tak faham lagi.

“Kau tak faham tak apa, aku bagi dekat Semenyih. [...] Kalau itu tak faham (lagi), tak tahulah apa nak kata. Agaknya dunia dah nak kiamat kot,” kata Mohamed Satim.

PRK DUN Semenyih pula bakal diadakan pada Sabtu ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.



Rabu, 27 Februari 2019

Menteri umum RM80,000 baik pulih dewan di Semenyih



   
PRK SEMENYIH | Di tengah kerancakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), penduduk di Beranang, Semenyih menerima peruntukan mengejut sebanyak RM80,000 untuk kerja baik pulih sebuah dewan.

Peruntukan itu diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammaddin Ketapi dalam ucapan perasmian Program Semarak Seni Kraf di Beranang hari ini.

“Saya luluskan peruntukan RM80,000 untuk dewan ini,” katanya di akhir ucapan perasmiannya.

Menurut penduduk sekitar, Dewan Haji Md Silin merupakan dewan serba guna yang selalu digunakan untuk aktiviti sukan, majlis perkahwinan dan acara-acara rasmi di Beranang.

Program di Beranang itu merupakan aktiviti jerayawara (roadshow) bagi Hari Kraf Kebangsaan yang dijadual berlansung esok hingga 11 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Ketika memberi penjelasan kepada pemberita, Mohammadin berkata peruntukan itu merupakan peruntukan khas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
“Bantuan tersebut diberi kepada dewan (ini) untuk memudahkan dan memberi keselesaan kepada komuniti kraf untuk melakukan aktiviti merekan di Semenyih melalui peruntukan khas menteri,” katanya.

Hadiah basikal untuk cabutan bertuah

Dalam program yang berlangsung tiga hari sebelum hari pengundian PRK Semenyih itu, satu cabutan bertuah turut diadakan bagi hadirin yang terdiri daripada penduduk di situ.

Sebanyak 33 hadiah diberikan kepada hadirin bertuah dalam program tersebut, dengan hadiah utama berupa sebuah basikal.

Beranang merupakan salah satu pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Semenyih dengan 972 orang pengundi.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan program anjuran kerajaan yang berlangsung di Semenyih secara amnya tidak dianggap melanggar undang-undang pilihan raya selagi aktiviti itu tidak digunakan untuk mengumpan undi.

Bagaimanapun SPR menegaskan pemberian hadiah seperti hamper adalah satu kesalahan dan bercanggah dengan akta pilihan raya.


Kain rentang provokasi: Tak mungkin BN yang pasang

Mohd Zaini Samsu Hadi
Barisan Nasional
Asyraf Wajdi bersama penduduk Kampung Sesapan Batu Minangkabau mengoca di dalam kolam pada Program Mengoca di sini, hari ini.


SEMENYIH – Pergerakan Pemuda UMNO menempelak pihak-pihak tertentu yang cuba menuding jari menuduh Barisan Nasional (BN) berhubung pemasangan kain rentang berunsur provokasi pada PRK DUN Semenyih.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak mungkin kain rentang yang ditemui oleh calon BN, Zakaria Hanafi pagi tadi dipasang oleh jentera partinya atau pihak-pihak dalam BN sendiri.

Ini kerana katanya, laporan polis berhubung perkara itu ada dibuat oleh Zakaria dan perkara itu bukanlah satu cerita yang direka atau dibuat main-main.

“Tidak mungkin BN yang buat dan cara olahan ayat, bilangan yang banyak saya rasa ini hanya boleh dibuat oleh mereka yang mempunyai kemampuan tinggi.

“Sebab itu kita buat laporan polis jadi polis tentu mempunyai cara dan pendekatan untuk menyiasat.

“Kalau ia dilakukan oleh BN, sudah tentu kita berdepan dengan kesalahan jenayah iaitu laporan palsu, kita membuat laporan sedemikian rupa menunjukkan bukan daripada kita tetapi mainan jahat PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mengoca, di Kampung Sesapan Batu, Minangkabau dekat Beranang hari ini.

Asyraf diminta mengulas mengenai tuduhan sesetengah pihak apabila mengaitkan laporan polis yang dibuat oleh Zakaria berhubung kain rentang yang dipasang di beberapa lokasi di Semenyih didakwa sebagai provokasi dilakukan oleh BN sendiri.

Laporan tersebut dibuat oleh Zakaria di Balai Polis Semenyih hari ini sejurus mengetahuinya pada pukul 8.15 pagi.

Mengulas lanjut Asyraf berkata, dalam tempoh yang singkat ini parti lawan sudah semakin terdesak hingga sanggup melakukan apa sahaja perkara untuk meraih simpati dan memainkan emosi demi menagih undi.

“Jadi saya hanya boleh menyarankan agar mereka berhati-hati, Pemuda UMNO dah lalui semua ini seperti di Cameron Highlands.

“Kita dalam keadaan sentiasa peka terutama dalam tempoh 48 jam akan datang kerana ini akan menjadi penentu dan mereka tentu akan melakukan apa sahaja untuk meraih simpati, memainkan emosi demi menagih undi,” ujarnya.

Tambah beliau, parti lawan sudah merasa semakin bimbang terhadap gelombang sokongan rakyat terhadap calon BN dan kesilapan demi kesilapan telah ditunjukkan oleh mereka ketika ini.

“Jadi, saya mahu memberikan peringatan kepada semua pihak, kita harus mengamalkan politik secara sihat dan setakat ini kita BN tidak ada isu dalam konteks menggunakan wang ataupun melakukan fitnah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ISYARAT PH BAKAL TEWAS DI SEMENYIH?

Wartawan Watan-Online

Reaksi spontan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang terdiam ketika diajukan mengenai peluang Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Semenyih menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak terjawab.

Mohd Redzuan dilihat terdiam sekurang-kurangnya selama 15 saat sebelum memberitahu beliau yakin dengan kemenangan PH.

“Jika sebelum ini saya berasa kurang yakin tetapi sekarang ini saya yakin yang kita akan menang di Semenyih,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh moderator dalam program Bicara Minda di Selangor pada Selasa.

Walaubagaimanapun Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan tidak menghuraikan mengenai asas kepada keyakinan beliau terhadap kemenangan PH di PRK Semenyih.

Ketika ditanya mengenai peluang kemenangan PH di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang dijangka bakal berlaku, Redzuan mengakui tidak dapat memberikan jawapan tepat buat masa ini.

“Banyak faktor perlu dinilai, soal siapa calon dan sebagainya dan tentu sekali pihak lawan ada senjata mereka, begitu juga kita tetapi ada baiknya kita perlu berhati-hati dalam memberi kenyataan,” katanya yang turut memberi alasan beliau belum sempat membuat penilaian terperinci mengenai perkara tersebut.


MAIN ISU UNTUK PANCING UNDI – NAZRI

Oleh Hazierra Lukman




Isu yang digembar gemburkan berhubung ucapan yang berbaur perkauman oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nazri Aziz dianggap sebagai bahan memancing undi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih oleh pihak pro-kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Nazri menegaskan, “Ini percubaan yang terdesak oleh akhbar tertentu yang mungkin pro-kerajaan dan ini peluang untuk memberi gambaran yang salah.

“Bagi mereka yang mengenal saya, mereka mengenali saya,” katanya kepada pemberita di Bandar Seri Putera pada Selasa malam.

LIHAT VIDEO DI SINI


Selasa, 26 Februari 2019

Kempen PDM di PRK Semenyih “sudah masuk gear lima”

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEMENYIH: Sudah masuk ‘gear kelima’. Begitulah gambaran suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang semakin agresif berkempen dalam usaha mereka menawan hati pengundi.

Hanya berbaki empat hari sebelum hari pengundian Sabtu ini, di kiri kanan jalan di sekitar DUN Semenyih, perang poster dan bendera parti-parti memeriahkan lagi suasana kempen, ditambah dengan kenderaan melaungkan pujukan untuk mengundi mereka dengan menggunakan pembesar suara.

Di markas PDM Pakatan Harapan (PH) di Beranang, Batu 26 dan Sesapan Batu Rembau misalnya, kempen mendekati pengundi dijalankan secara aktif dari ‘pagi hingga ke pagi’ dengan pelbagai usaha dibuat bagi memastikan undi penduduk memihak kepada mereka.

Lebih 50 petugas terutama daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak ditempatkan di setiap tiga PDM tersebut membuatkan mereka ‘cukup tangan’ untuk mendekati kira-kira 2,600 pengundi berdaftar yang memfokuskan kepada pelbagai manfaat yang diterima rakyat Selangor sejak 2008, selain aspirasi kerajaan.

Menurut Ketua Armada Bersatu Perak Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, sambutan yang diterima mereka amatlah positif dan memberangsangkan termasuklah di kawasan PDM yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) iaitu Batu 26 dan Batu Sesapan Rembau.

“Cabaran untuk menawan hati pengundi di sini tetap ada justeru kami lebih memilih untuk mendekati mereka secara terus dan berdepan dengan mengurangkan ceramah kelompok…cara kami dengan lebih bersembang, mendengar pendapat, keluhan dan apa jua permasalahan yang dihadapi di sekitar tiga PDM ini.

“Maka hasil daripada program dan pertemuan terutamanya di dua PDM milik BN, kita dapat melihat corak perubahan yang begitu ketara di mana pengundi-pengundi di sini memperlihatkan sokongan yang meningkat kepada PH,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Ketua PDM PH bagi kawasan Bandar Tasik Kesuma, Abu Mansor Mohammad berkata kempen PH bagi kawasan itu tertumpu kepada usaha untuk menjawab serangan pihak pembangkang terutamanya melibatkan isu manifesto kerajaan.

Menurutnya, PDM bawah kendaliannya yang merupakan antara PDM dengan jumlah pengundi terbesar di Semenyih iaitu seramai 4,492 pengundi itu mempunyai seramai 20 petugas tempatan yang cukup berdedikasi, selain mendapat bantuan parti komponen PH dari Negeri Sembilan bagi membantu gerak kerja mereka.

“Kita juga menggunakan sistem syif di mana setiap petugas bergilir-gilir bertugas semasa berkempen, kita bekerja tidak berkira ada sampai lewat malam untuk ceramah dan memasang bendera,” katanya.

Abu Mansor berkata pada pilihan raya umum lalu, PDM Bandar Tasik Kesuma telah dimenangi PH dengan majoriti kira-kira 1,200 undi dan semestinya tanggungjawabnya lebih berat kini bagi mempertahankan kawasan itu.

“Beberapa hari yang tinggal kita akan lebih agresif dalam berkempen dan pergi ke kawasan yang belum lagi kita pergi. Kita juga akan mempertingkatkan gerak kerja menyampaikan risalah, anjur program ceramah dan ke pusat tumpuan orang ramai,” katanya.

Ketua Pusat Daerah Mengundi Kampung Sesapan Batu Minangkabau PH, Amran
Sharudin pula berkata pihaknya lebih menumpukan kaedah berkempen secara bersemuka dengan para pengundi di kawasan yang dianggap kubu kuat BN itu, kerana cara demikian lebih berkesan kerana mereka boleh menerangkan dasar-dasar kerajaan negeri dan program-program kebajikan dengan lebih jelas.

“Jentera kami bergerak dari rumah ke rumah, ke kedai kopi dan pasar pagi yang menjadi tumpuan orang kampung berkumpul, sejak hari pertama kempen pada 16 Feb lepas,” katanya.

Bagi BN pula, Ketua PDM Semenyih Barat Hamdan Abu berkata mereka bekerja keras membantu calon BN Zakaria Hanafi untuk menang di kerusi DUN Semenyih itu, meskipun terpaksa berhadapan dengan cabaran memandangkan PDM itu dimenangi oleh PH sebelum ini.

“Sokongan akan ada turun naik maka kami perlu berusaha untuk turun ke kawasan yang sama berulang kali untuk berkempen bagi memastikan sokongan kepada kami berterusan dan tidak pudar, dan sekali gus menawan PDM yang dikuasai PH ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua PDM Sungai Kembung Ahmad Ariffin mempunyai keyakinan tinggi bahawa PDM di bawah kendaliannya itu akan sekali lagi dapat membantu peratusan undian BN, sekali gus membolehkan PDM tersebut dikuasai BN sekali lagi.

“Dengan kehadiran pemimpin tertinggi parti yang turut serta berkempen tidak mustahil PDM ini boleh mengekalkan penguasaannya bahkan menyumbang jumlah undi lebih banyak dari dahulu,” katanya.

Sementara itu, anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang juga Pengarah PRK Dun Semenyih parti itu, berkata calon dan jentera kempennya sudah berkempen hampir ke semua ceruk di dalam Dun Semenyih dan akan memperhebatkan lagi kempennya menjelang hari mengundi.

“Bagi minggu terakhir ini, kami berkempen secara menyeluruh tetapi akan lebih mendekati ‘key voters’ di sini, iaitu anak muda, pengundi Cina dan juga pengikut Pas.

“Kita juga mahu mengubah persepsi awam terhadap calon PSM sebagai pemecah undi, sebaliknya sebagai calon wakil rakyat yang boleh membawa suara rakyat,” katanya sambil menambah sambutan yang diterima terhadap calonnya, Nik Aziz Afiq Abdul dilihat memberangsangkan dan berpotensi untuk memenangi hati pengundi.

PRK Dun Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, calon BN Zakaria Hanafi, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada PSM.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. Pada PRU ke-14, PH merampas Semenyih daripada BN dengan majoriti 8,964 undi, dan daripada 23 PDM di Dun Semenyih, PH menang 13 manakala BN menguasai 10.—Bernama

Aiman pula tertinggal pas calon


   
PRK SEMENYIH | Ketika ketiga-tiga calon dari BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bebas berada di Dewan Serbaguna Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih bagi proses pengundian awal, ketiadaan kelibat calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zanali menimbulkan tanda tanya.

Beliau sepatutnya tiba awal di pusat pengundian berkenaan, namun hadir lewat kerana berdepan masalah teknikal apabila tertinggal pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kecuaian itu mengakibatkan dia terpaksa hadir ke pusat pengundiaan berkenaan agak lewat jika dibandingkan calon lain.

Menjelaskan perkara itu, Muhammad Aiman berkata dia sudah hadir ke pusat pengundian awal itu kira-kira jam 8.50 pagi lagi, namun tidak dibenarkan masuk kerana ketiadaan pas calon.

"Pas calon saya ini berada bersama dengan dengan dokumen lain, dalam kereta lain.

"Kereta itu sudah bergerak ke Kuala Lumpur, jadi saya terpaksa menunggu. Pas berkenaan dikembalikan kepada saya kira-kira jam 11.30 pagi," katanya ketika ditemui pagi tadi.

Tak dibenar masuk tanpa pas

Petugas media menunggu Muhammad Aiman sejak dari awal pagi lagi, namun kelibat calon PH itu tidak kunjung tiba di pusat pengundian awal itu.

Bagaimanapun ketiga-tiga calon lain membabitkan Zakaria Hanafi dari BN, calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng muncul sejak awal pagi lagi.

Sementara itu Muhammad Aiman berkata pihak berkuasa bersikap telus apabila tidak membenarkan beliau masuk tanpa pas calon.

"Malaysia baru lebih telus, saya sebagai calon PH yang mewakili kerajaan juga tidak dibenarkan masuk. Itulah yang kita tunjuk dan tonjolkan.

"(Pas calon) orang lain hantar dan saya telah menunggu lama sejak jam 8.50 pagi lagi," katanya.