Sabtu, 23 Februari 2019

Saifuddin: Kerajaan tidak pernah bincang tuntutan Manila ke atas Sabah


KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini berkata Putrajaya dan Manila tidak membincangkan tuntutan negara itu ke atas Sabah, selepas duta Filipina ke Malaysia membangkitkan semula tuntutan kontroversi tersebut.

“Tidak pernah ada perbincangan semasa pertemuan 2 hala kami, tidak pernah ada di meja,” kata Saifuddin kepada pemberita selepas berucap pada forum “Stand for Yemen” di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Duta Filipina ke Malaysia, Charles C Jose, pada Khamis lalu.

Charles, selepas menemui Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal di Kota Kinabalu memberitahu media bahawa Manila tidak menarik balik tuntutan negara itu ke atas negeri Sabah.

Bagaimanapun beliau berkata, Manila tidak meneruskan perkara itu secara aktif pada masa ini kerana kedutaan Filipina lebih tertumpu kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat Filipina tanpa izin di Sabah.

Ketika ditanya berulang kali sama ada Putrajaya menyedari kenyataan Charles dan dakwaan serius Manila, Saifuddin tidak mengulas lanjut, sebaliknya berkata, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan melawat negara itu.

“Ya, perdana menteri akan melawat Manila pada 7 dan 8 Mac ini. Saya yakin, kami melawat Manila untuk memupuk hubungan yang lebih baik antara Malaysia dan Filipina,” katanya.

Kerajaan Malaysia secara konsisten menolak tuntutan Filipina.

Isu ini berbangkit semula apabila pada Julai tahun lepas Aquilino Pimentel Jr, anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina, mencadangkan kemasukan Sabah ke wilayah Filipina.

Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sebelum ini menolak tuntutan itu dan mengulangi bahawa Sabah tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan oleh Filipina atau mana-mana negara lain.

Manila bagaimanapun tidak mengambil sebarang langkah formal berhubung isu itu seperti mendaftarkan tuntutan rasmi di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Tiada ulasan: