Ahad, 24 Februari 2019

Sarawak kuatkuasa larangan merokok mulai 1 Mac

tyrazalhe  

Kerajaan negeri setuju tangguh pelaksanaan denda selama 6 bulan


KUCHING – Peraturan larangan merokok di semua permis makanan di Sarawak akan berkuatkuasa 1 Mac, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju menangguhkan pelaksanaan denda sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan.

“Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk menjalankan beberapa program seperti terapi merokok, kesedaran pendidikan di peringkat sekolah serta kempen anti merokok, “ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Perubatan New York di sini hari ini.

Dr Sim berkata, program kesedaran orang awam sedang dijalankan kerana kerajaan negeri mengambil berat terhadap masyarakat yang tinggal luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada maklumat dan didenda oleh pihak berkuasa apabila mereka merokok di kawasan larangan ketika datang ke bandar.

“Kita mahu melihat kempen anti merokok in bukan sekadar mengenakan denda, kerana ia harus bermula pada peringkat awal persekolahan dan mereka yang hendak menghentikan tabiat merokok kita bantu menerusi terapi secara percuma,” katanya.

Peraturan larangan merokok telah dilaksanakan di seluruh negara berkuatkuasa 1 Januari tahun ini. 

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara manakala pemilik premis yang membenarkan pelanggan merokok boleh didenda RM2,500.- Bernama


Tiada ulasan: