Sabtu, 23 Februari 2019

PROGRAM SUBSIDI : ‘MENYERONOKKAN’ KRONI PH

Wartawan Watan-Online
 




Pelaksanaan subsidi bersasar hanya akan memberi keuntungan besar kepada kroni PH berbanding rakyat malah sistem tersebut tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat yang memiliki kereta dan motosikal.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan sistem tersebut ‘menyeronokkan’ kroni PH yang akan dapat projek subsidi tersebut.

“Oleh itu, rumusan kita pada masa itu ialah lebih baik untuk menaikan BR1M supaya rakyat boleh pilih di mana mereka mahu belanjakan duit ini,” katanya melalui laman sosial pada Selasa.

Mengulas lanjut, Najib berkata kerajaan lama Barisan Nasional (BN) telah lama mengkaji pelaksanaan subsidi petrol bersasar dan mendapati kos serta masalah yang berlaku lebih tinggi berbanding faedah kepada rakyat.

“Ada 3,500 stesen minyak di Malaysia. Jika setiap stesen ada 10 pam, maka 35,000 pam perlu diubahkan dan dikawal.

“Banyak juga masalah yang akan dihadapi. Ada kemungkinan sistem rosak pada mana-mana hari dan yang memerlukan tak dapat subsidi minyak.

“Ada juga kemungkinan berlakunya ketirisan dan penipuan melalui penjualan kad subsidi,” kata Najib.

Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan akan memperuntukkan subsidi petrol kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

Menteri Kewangan dipetik berkata, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter untuk motosikal.

Subsidi petrol secara bersasar dijangka akan dilaksanakan pada bulan April. KPDNHEP selaku kementerian yang menerajui program pelaksanaan subsidi bersasar akan memastikan senarai mereka yang layak menerima subsidi bersasar adalah mengikut garis pendapatan isi rumah.


Tiada ulasan: