Ahad, 24 Februari 2019

Menteri lembab respon bila isu sensitif babit umat Islam

Oleh Siti Fatimah Ishak 

Kebebasan suara tak terkawal, ada pihak ambil kesempatan hina Islam



BANGI – Semenjak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan negara, kebebasan bersuara seolah-olah menjadi salah satu pegangan masyarakat.

Mana tidaknya, ada pihak dilihat mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan menghina dan mengganggu sensitiviti masyarakat Islam dengan sewenang-wenang, tanpa rasa takut dan bersalah, kata Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa).

Ketua Pemudanya, Iqbal Hakim Abdul Razak kesal kerana kesempatan ini digunakan mereka sehabis-habisnya untuk mewujudkan suasana tidak tenteram.

“Lebih malang, pemimpin Melayu pula seolah-olah bisu, pekak dan buta bila Islam dihina. Mereka seperti sukar untuk keluar kenyataan mengingatkan rakyat Malaysia agar menjaga sensitiviti masyarakat, kerana yang menjadi mangsa adalah umat Islam.

“Malah, menteri-menteri juga kelihatan sangat tinggi sensitiviti bila babitkan isu agama lain, tapi jika isu Islam nampak sangat mereka lembab untuk beri maklum balas,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.net hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas isu penghinaan dan provokasi yang sengaja dicetuskan pihak bukan Islam sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, seorang lelaki yang ditahan kerana memuat naik status menghina Nabi Muhammad ﷺ dan isteri, Saidatina Aishah, di akaun Facebook. telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Tindakan pemilik akaun Facebook Foo Sin Wei yang menghina Rasulullah ﷺ, telah mengundang kecaman dan kemarahan netizen.

Antara status yang dimuat naik individu terbabit turut menyifatkan Baginda Rasulullah ﷺ memanipulasi kanak-kanak, dengan imej yang menggambar Nabi Muhammad ﷺ dan isteri Baginda, Siti Aisyah.

Iqbal berkata, situasi bebas bersuara tanpa menjaga sensitiviti yang berlaku ketika ini adalah kesan daripada kengganan sesetengah kumpulan dalam masyarakat untuk berasimilasi.

“Malah tindakan mereka tidak mahu menyatukan diri dengan budaya Bangsa Malaysia, iaitu budaya yang menjadikan Islam sebagai nilai rujukan menjadi punca provokasi berlaku,” katanya


Tiada ulasan: