Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam kenyataan media hari ini menegaskan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Kenyataan media itu dibuat ketika PAS mendakwa terdapat usaha meminggirkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya.
"PKR menegaskan perpaduan dan kesepakatan PH harus dipertahan, dan menolak keras segala tohmahan yang cuba melaga-lagakan pimpinan dan melemahkan kerjasama erat di kalangan PH.
"PKR berpegang teguh kepada persetujuan yang telah dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018, di mana Dr Mahathir diangkat menjadi perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi timbalan perdana menteri, manakala Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai perdana menteri ke-8 selepas tempoh dua tahun.
"PKR menegaskan bahawa pendirian parti dalam perkara ini tidak berubah," kata kenyataan media itu yang dibuat selepas mesyuarat bulanan MPP yang diadakan hari ini.
Selain itu, dalam kenyataan itu, PKR turut menegaskan bahawa seluruh kekuatan parti perlu disalurkan ke arah menyokong usaha PH untuk mengukuhkan ekonomi dan mengatasi masalah rakyat termasuk isu kos sara hidup.
Pada 15 Feb lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pertemuannya dengan Dr Mahathir membincangkan isu pentadbiran.
Dr Mahathir bagaimanapun mendakwa PAS berjanji untuk tidak menyokong Umno di Semenyih dan pemimpin parti itu turut menandatangani perjanjian berhubung perkara itu.
Susulan itu, pemimpin PAS menafikan perjanjian seumpamanya seperti didakwa Dr Mahathir.
Sebaliknya, PAS mendakwa, perjanjian yang ditandatangani mereka adalah untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir sekiranya berlaku undi tidak percaya terhadap pengerusi PH itu.
PAS juga mendakwa dua parti komponen PH cuba menggulingkan Dr Mahathir.
Pemimpin utama komponen PH sebelum ini termasuk dari DAP dan PKR menafikan dakwaan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan