Rabu, 27 Februari 2019

Ada bukti Pas bayar Clare, kata Anwar

Mohammad Arif Nizam
MGF27022019_MAJLIS-PENYAMPAIAN-HADIAH-SASTERA-HSKU22-681x455
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ke-33 di Dewan Besar Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI


KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai bukti yang Pas membayar RM1 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu enggan mendedahkan maklumat lengkap yang dimilikinya itu.

“Saya akan dedahkan secara terperinci pada malam ini di Semenyih. Saya rasa mereka tidak boleh menafikannya,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Semalam di Pulau Pinang, Anwar meminta Pas mengesahkan sama ada benar atau tidak parti itu membuat bayaran lebih RM1 juta kepada Clare.

Namun Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan kemudian tampil menafikan dakwaan tersebut.

Anwar menambah, beliau telah membaca keseluruhan prosiding dan keputusan dibuat mahkamah di London berhubung saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Katanya, isu yang dibangkitkan Clare ialah dana daripada UMNO yang dimasukkan ke akaun tertentu dan ia mempunyai kaitan dengan Pas.

Selepas itu, Anwar berkata, tuduhan yang disiarkan oleh Sarawak Report itu dinafikan malah Abdul Hadi menyaman pengarang portal pembocor maklumat tersebut.

“Kemudian mereka mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah tapi Clare kekal dengan dakwaannya dan artikel tersebut tidak ditarik balik. Jadi ia nampak aneh,” katanya.

Menurut Anwar, beliau memiliki banyak pengalaman berhubung kes-kes saman sivil sebelum ini.

Ini kerana kebiasaannya jelas Anwar, kalau ada penyelesaian sesuatu tulisan itu akan ditarik balik atau pihak yang terbabit meminta maaf. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: