Khamis, 28 Februari 2019

Mohammaddin teruja sehingga lupa sedang berkempen

Muhammad Azizul Osman
SEMENYIH – Datuk Mohammaddin Ketapi terlalu teruja untuk membantu penduduk Semenyih hingga terlupa beliau sebenarnya turun berkempen untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Saya rasa dia tidak pasti kerana terlalu berjiwa rakyat dan terlupa bahawa dia sedang berkempen untuk PRK,” kata Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, katanya, Mohammaddin peka tentang kesilapan itu dan tanpa berdalih beliau meminta maaf yang merupakan budaya pemimpin baharu.

“Kita salah dan minta maaf. Tidak payah nak berdalih,” katanya kepada media selepas bersama calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang berkempen di Kampung Baru Semenyih pagi tadi.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menarik semula peruntukan RM80,000 yang diumumkan untuk kerja menambaik dewan serbaguna Dewan Haji Md Silin di Beranang.

Penarikan itu dibuat selepas beliau menyedari tindakannya menyalahi akta ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan ketika ini merupakan tempoh berkempen bagi PRK DUN Semenyih.

Mohammaddin berkata, beliau tidak berniat mengganggu suasana kempen PRK Semenyih yang sedang berlangsung dengan melanggar akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: