PENGALAMAN PAS sebagai
di antara parti politik tertua di dalam negara banyak mengajar PAS dalam
mengenal kawan dan lawan dalam dunia politik. Sikap berpura-pura, tikam
belakang dan berbuat apa saja asalkan tercapai cita-cita di kalangan
lawan cukup masak diketahui PAS.
Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah
menafikan akan adanya undi tidak percaya terhadap Tun Dr Mahathir pada
sidang Dewan Rakyat yang akan datang dan menyatakan Majlis Presiden PH
kekal menyokong Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi
PH.
Saifuddin Abdullah patut memberitahu
rakyat bilakah kali terakhir Majlis Presiden PH bersidang dan menyatakan
sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana
Menteri dan Pengerusi PH. Jika dua atau tiga bulan lepas ia tidak masuk
akal kerana di dalam politik, esok macam-macam boleh jadi. Seperti kata
Menteri Kewangan minggu lepas, Da Ma Cai yang menaja rombongan pegawai
kanan PDRM ke Turki, sekarang sudah U-Turn pula.
Di sebalik keriuhan wujud gerakan undi
tidak percaya ke atas Tun Dr Mahathir pada sidang Dewan Rakyat tidak
lama lagi, Anwar Ibrahim mengemukakan teori tidak masuk akal iaitu Tuan
Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang mahukan usul tersebut. PAS
langsung tidak mendapat apa-apa faedah jika berbuat demikian mahupun
menyokong usul sedemikian. Sepatutnya wajar kita kaji siapa yang untung
jika berbuat demikian serta siapa yang benar-benar marah bila PAS
bangkitkan kisah ini. Sekali lagi sejarah tidak pernah menipu!
Ramai yang lupa kisah 16 September 2008,
ketika kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi hampir ditumbangkan.
Bagaimana kisah 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional diterbangkan ke
Taiwan untuk berbuat 'belot' terhadap Perdana Menteri ketika itu Tun
Abdullah Ahmad Badawi, surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk
mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dengan notis undi tidak percaya
terhadap Perdana Menteri.
Ramai yang tidak tahu di sebalik semua
itu siapa arkitek di belakangnya atau ramai juga yang tahu tetapi tidak
dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh PAS sekarang. Anwar
Ibrahim ialah arkiteknya dan orang yang bertanggungjawab terhadap cubaan
tersebut yang pada mulanya dinafikan bermati-matian oleh beliau. Namun
semuanya terbongkar adalah benar ketika perbicaraan saman beliau
terhadap Khairy Jamaluddin pada 2017.
PAS tidak mendapat apa-apa faedah jika
berlaku undi tidak percaya, yang paling mendapat faedah ialah Anwar
Ibrahim. Jika kita lihat reaksi pertama beliau ketika mula kecoh isu
ini, beliau memang marah dan tidak sangka tindakan beliau di belakang
tabir dihidu PAS. Semua orang tahu Anwar Ibrahim idamkan jawatan Perdana
Menteri, begitu juga semua orang tahu bagaimana DAP tidak percaya
kepada Tun Dr Mahathir. Ketika cubaan Anwar Ibrahim pada 2008, ia
terhalang apabila Speaker Dewan menolak usul tersebut namun dengan Nga
Kor Meng dari DAP menjadi Speaker Dewan Rakyat kali ini, usul tersebut
akan mendapat laluan mudah jika diangkat.
Sudah berapa lama PKR dan DAP idamkan
untuk menjadi Kerajaan, setiap kali mencuba mereka gagal. Namun pada
PRU14, mereka berjaya mengajak Tun Dr Mahathir bersama mereka walaupun
mereka sebenarnya tidak percaya kepada beliau dan kerana itu sahaja cara
untuk mereka menang PRU14 dan mengambil alih Kerajaan Persekutuan.
Setelah berjaya, kini sokongan terhadap Tun Dr Mahahtir bertambah kuat
serta Tun Dr Mahathir seperti mahu kekal sebagai Perdana Menteri
meresahkan PKR, DAP dan PAN.
Sebelum keadaan bertambah parah,
membantutkan cita-cita dan agenda Malaysia Baharu mereka, mereka perlu
kembali kepada rancangan asal, hanya menggunakan Tun Dr Mahathir untuk
memenangi PRU14. Tun Dr Mahahtir perlu ditumbangkan atau dikeluarkan
dari Kerajaan dan PH. Cara yang paling efektif, usul undi tidak percaya
pada sidang Dewan Rakyat tidak lama lagi kerana mereka merasakan mereka
memperolehi sokongan majoriti dan Anwar Ibrahim berpengalaman membuat “manouver“ sedemikian.
Jika PH kalah di Semenyih, jangan
salahkan PAS kerana kempen dari PH sendiri yang hambar. Dengan kempen
calon PH di Semenyih kebanyakkannya hanya dari Bersatu dan DAP
seolah-olah memboikot, itu sebenarnya tanda jelas wujudnya pergolakan
besar di dalam PH. Sekarang kita sudah tahu kisah sebenar di sebalik
semua ini, cuma yang menjadi tanda tanya di kalangan anggota Parlimen
PH, siapa yang menyokong Tun dan siapa yang menolak beliau. Mungkin
sekarang ramai tidak berani berpihak takut dikerat atau mungkin kita
patut tanya mereka menyokong siapa sebenarnya.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI, Ketua Pemuda,Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan