Rabu, 27 Februari 2019

RON95 kini ditetapkan RM2.08 seliter

Wartawan MalaysiaGazette
petrol
Harga runcit petrol bagi RON95 dikekalkan kepada RM2.08 seliter sehingga pelaksanaan subsidi tersasar diperkenalkan pada pertengahan tahun ini.
 

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON95 yang pada masa ini ditetapkan pada RM2.20 seliter dikurangkan kepada RM2.08 seliter.

Keputusan itu dibuat oleh Kabinet hari ini.

Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.

Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras tersebut, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08.

Harga minyak pada 23 Februari hingga 1 Mac ditetapkan pada RM2.08 seliter.

Bagaimanapun, harga runcit RON95, RON97 dan diesel berdasarkan pengiraan Automatic Price Mechanism (APM) akan terus diumumkan secara mingguan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengurangan paras harga runcit bagi produk petrol RON95 ini selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Ini adalah suatu inisiatif baharu oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan demi melindungi kepentingan golongan B40, yang tidak pernah diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Had harga minyak ini akan dibatalkan apabila subsidi minyak bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: