Sabtu, 23 Februari 2019

Harga barang naik, pelaksanaan ICPT tidak telus?

Wartawan MalaysiaGazette

logo-AWER-681x204


KUALA LUMPUR – Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) mendakwa mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api dan Penjanaan (ICPT) pelaksanaan caj tambahan dilakukan secara adil mulai tahun 2018.

Ini kerana, dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang disumbangkan oleh semua kategori pengguna didakwa hanya digunakan untuk pengguna domestik bagi mengurangkan impak tambahan.

AWER menjelaskan di bawah mekanisme penetapan tarif mengikut Peraturan Berdasarkan Insentif (IBR) (mulai 1 Januari 2014), tarif asas elektrik (38.53 sen/kWj) ditetapkan bagi setiap 3 tahun dan ICPT yang merupakan perbezaan dalam kos bahan api (harga sumber tenaga) dan kos-kos penjanaan yang lain akan disalurkan kepada tariff elektrik setiap 6 bulan.

Dengan pelaksanaan ICPT, jika kos bahan api meningkat daripada nilai-nilai yang digunakan semasa penetapan tarif bagi 6 bulan semasa, kos bahan api tambahan akan disalurkan pada 6 bulan seterusnya sebagai caj tambahan atau surcaj.

Jika kos bahan api menurun daripada nilai-nilai yang digunakan semasa penetapan tarif bagi 6 bulan semasa, penjimatan dalam penurunan kos bahan api akan direbatkan pada 6 bulan seterusnya.

Menurut Presidennya, Piarapakaran S, kitaran tarif semasa bermula dari 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020 dengan tariff asas baru 39.45 sen/kWj dan caj tambahan semasa iaitu 1.35 sen/kWj akan dikekalkan sehingga akhir Februari 2019.

Bermula dari 1 Mac 2019 hingga 30 Jun 2019, caj tambahan baru akan dikenakan pada kadar 2.55 sen/kWj kepada sektor bukan domestik.

Caj tambahan kepada sektor domestik diserap melalui dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) – dana untuk menyimpan penjimatan daripada kos penjanaan dan juga penjimatan yang lain di bawah mekanisme penetapan tarif yang baru.

Dana ini disumbang oleh pengguna domestik dan bukan domestik melalui tarif elektrik.

Tambah Piarapakaran, berdasarkan laporan Prestasi dan Maklumat Statistik Industri Bekalan Elektrij di Malaysia 2016

pengguna domestik hanya menggunakan 23.36 peratus elektrik yang dijana di Semenanjung Malaysia.

Pelaksanaan caj tambahan yang tidak diprorata akan menyebabkan impak yang lebih tinggi kepada sektor industri dan komersial, yang mana akhirnya menyebabkan peningkatan kos sara hidup.

“Pengguna perniagaan akan menyalurkan semua kos tambahan kepada produk dan perkhidmatan mereka kerana Suruhanjaya Tenaga tidak mempunyai mekanisme bersama-sama agensi-agensi lain untuk mengawalselia peniaga bagi mengelakkan mereka mengaut keuntungan berlebihan dengan alasan caj tambahan telah meningkat,” katanya.

Tambahan pula, pengumuman pelarasan tarif dan mekanisme ICPT patut dibuat pada minggu pertama bulan Jun dan Disember.

Jika pengguna bukan domestik memerlukan masa dua bulan untuk bersedia, Suruhanjaya Tenaga patut umum ICPT dan pelarasan tarif pada minggu pertama Mei dan November.

“Perkara ini tidak susah dilaksanakan kerana harga gas asli dan arang batu ditetapkan setiap 3 bulan.

Prorata pelaksanaan samada caj tambahan atau rebat untuk 6 bulan adalah pelaksanaan tarif yang lebih adil dan bijak berbanding apa yang diumumkan untuk separuh pertama tahun 2019,” ujarnya lagi.

Tegasnya, harga barangan dan perkhidmatan untuk Tahun Baru Cina tidak sepatutnya meningkat disebabkan caj tambahan kepada sektor bukan domestik dikekalkan sehingga akhir bulan Februari 2019.

“Adakah ianya berlaku? Tambahan pula, dengan melewatkan pelaksanaan peningkatan caj tambahan kepada 1 Mac, Suruhanjaya Tenaga akan “membantu” komuniti perniagaan untuk menggunakan caj tambahan sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya.

“Kini, adakah Suruhanjaya Tenaga mempunyai sebarang rancangan untuk mengelakkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bagi bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya?,” tanya beliau lagi.

Berdasarkan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (NESS) yang dijalankan oleh AWER, sebanyak 69.94 peratus rakyat Malaysia ingin mengetahui bagaimana tarif elektrik dan harga bahan api ditentukan.

Majoriti 73.87 peratus rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan tidak telus dalam menentukan tarif elektrik dan harga bahan api.

Ia terbukti bahawa rakyat Malaysia ingin mengetahui maklumat lanjut dan ketelusan mengenai bagaimana harga ditetapkan untuk tenaga elektrik dan kos bahan api.

“Maka, ketelusan adalah elemen utama untuk menyah-politikan penetapan tarif.

“Suruhanjaya Tenaga telah gagal menerbitkan akaun KWIE bagi setiap enam bulan sejak 1 Januari 2014. Kami juga perhatikan terdapat cubaan untuk melaporkan penjimatan yang lebih rendah dalam pelaksanaan ICPT dengan memasukkan “kos ke hadapan” (forward costing) gas asli berpaip,” katanya.

Sehubungan itu, AWER mengesa Kerajaan Persekutuan memastikan Suruhanjaya Tenaga menerbitkan akaun dana KWIE bagi setiap enam bulan mulai 1 Januari 2014 hingga kini dan dana KWIE mesti dilaporkan kepada umum kerana pengguna yang membayar untuk dana ini.

Piarapakaran menambah, berdasarkan program-program akar umbi yang dijalankan, didapati pengguna boleh menerima hakikat perubahan kos apabila mereka dapat melihat dengan telus bagaimana tarif elektrik dipengaruhi oleh pelbagai kos.

Ini membuktikan keperluan bagi Kerajaan Persekutuan Suruhanjaya Tenaga lebih telus dalam penetapan tariff elektrik. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: