Rabu, 27 Februari 2019

Menteri umum RM80,000 baik pulih dewan di Semenyih



   
PRK SEMENYIH | Di tengah kerancakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), penduduk di Beranang, Semenyih menerima peruntukan mengejut sebanyak RM80,000 untuk kerja baik pulih sebuah dewan.

Peruntukan itu diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammaddin Ketapi dalam ucapan perasmian Program Semarak Seni Kraf di Beranang hari ini.

“Saya luluskan peruntukan RM80,000 untuk dewan ini,” katanya di akhir ucapan perasmiannya.

Menurut penduduk sekitar, Dewan Haji Md Silin merupakan dewan serba guna yang selalu digunakan untuk aktiviti sukan, majlis perkahwinan dan acara-acara rasmi di Beranang.

Program di Beranang itu merupakan aktiviti jerayawara (roadshow) bagi Hari Kraf Kebangsaan yang dijadual berlansung esok hingga 11 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Ketika memberi penjelasan kepada pemberita, Mohammadin berkata peruntukan itu merupakan peruntukan khas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
“Bantuan tersebut diberi kepada dewan (ini) untuk memudahkan dan memberi keselesaan kepada komuniti kraf untuk melakukan aktiviti merekan di Semenyih melalui peruntukan khas menteri,” katanya.

Hadiah basikal untuk cabutan bertuah

Dalam program yang berlangsung tiga hari sebelum hari pengundian PRK Semenyih itu, satu cabutan bertuah turut diadakan bagi hadirin yang terdiri daripada penduduk di situ.

Sebanyak 33 hadiah diberikan kepada hadirin bertuah dalam program tersebut, dengan hadiah utama berupa sebuah basikal.

Beranang merupakan salah satu pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Semenyih dengan 972 orang pengundi.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan program anjuran kerajaan yang berlangsung di Semenyih secara amnya tidak dianggap melanggar undang-undang pilihan raya selagi aktiviti itu tidak digunakan untuk mengumpan undi.

Bagaimanapun SPR menegaskan pemberian hadiah seperti hamper adalah satu kesalahan dan bercanggah dengan akta pilihan raya.


Tiada ulasan: