Ahad, 24 Februari 2019

Bebas tol tengah malam galakkan lumba haram

MALAYSIAKINI

  Setiausaha Agung MCA Chew Mei Fun berkata hasrat kerajaan untuk menjadikan beberapa lebuh raya bebas tol dari jam 11 malam hingga 5 pagi boleh menggalakkan perlumbaan haram.

"Semua orang tahu kebanyakan orang sudah tidur ketika ini. Kebanyakan pengguna jalan raya tidak akan mendapat manfaat.

"Apa yang harus dibincangkan adalah kebanyakan pelumba haram aktif pada waktu malam. Adakah dengan ketiadaan kadar tol pada waktu itu akan lebih menggalakkan mereka?" soal Chew dalam kenyataan media hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan pemegang utama konsesi empat lebuh raya, Gamuda Berhad.

Lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan pada waktu puncak selama enam jam sehari, manakala kadar tol dihapuskan pada waktu “off-peak” antara jam 11 malam dan 5 pagi.

Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

Sementara itu, Chew menambah bahawa cadangan terbaru itu merupakan bukti PH tidak dapat menunaikan janji memansuhkan tol sepenuhnya.

PH dalam manifestonya berjanji menghapuskan tol secara berperingkat.

Chew turut mengkritik kerajaan yang menurutnya gagal untuk menyatakan garis masa untuk rancangan berkenaan.

Chew juga menyifatkan pengumuman kerajaan berhubung isu itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil (PRK) Semenyih yang akan diadakan Sabtu ini.

"Sambutan kempen mereka tidak begitu menggalakkan dan mereka terdesak untuk menang," katanya.

Tiada ulasan: