Sabtu, 23 Februari 2019

Semenyih: Antara Malaysia Baru dan penyatuan ummah


   

ULASAN | Kehangatan cuaca masih belum mampu menghangatkan lagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berbaki kira-kira seminggu saja lagi sebelum 54,471 pengundi berdaftar membuat keputusan siapa wakil rakyat baru mereka.

Tumpuan pastinya kepada dua parti dominan membabitkan Pakatan Harapan (PH) yang mempertaruhkan Muhammad Aiman Zainali bagi mempertahankan kerusi berkenaan, manakala Zakaria Hanafi dipertaruhkan BN bagi merebut kembali kerusi tersebut,

Secara asasnya, Semenyih menggambarkan "wajah Malaysia" yang mana pengundi DUN berkenaan membabitkan tiga kaum utama iaitu pengundi Melayu 69.2 peratus, Cina 16.8 peratus, dan India 13.3 peratus serta lain-lain, 0.7 peratus.

Statistik ini menunjukkan bahawa Melayu menjadi undi penentu kepada kemenangan calon yang bertanding dalam PRK DUN Semenyih kali ini.

Meskipun PH sebelum ini melalui Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 8,964 undi, namun ia bukan jaminan untuk parti kerajaan itu kembali menguasai kerusi berkenaan.

Sebaliknya, peluang 50-50 antara PH dan BN untuk memenangi kerusi itu, dan tidak keterlaluan jika dikatakan BN mempunyai sedikit kelebihan jika dibandingkan PH.

Faktor calon antara indikator pertama yang menjadi tarikan kepada pengundi di Semenyih, calon BN Zakaria dengan latar belakang sebagai anak tempatan, apatah lagi datang daripada keluarga yang cukup dikenali masyarakat di Semenyih, khususnya Beranang.

Zakaria sememangnya cukup dikenali dalam masyarakat, bagi golongan yang berusia calon BN itu yang aktif di surau bukan asing bagi mereka.

Berbanding Muhammad Aiman, anak muda yang masih ketandusan pengalaman dalam dunia politik dan bersandarkan sokongan yang dibawa bekas wakil rakyat kawasan itu sebelum ini.

PRK DUN Semenyih amat penting bagi PH dan BN khususnya Umno. PH mahu menjadikan Semenyih sebagai bukti bahawa mereka masih lagi relevan dan "disayangi" rakyat.

Umno pula mahu meneruskan rentak kemenangan untuk terus mencipta momentum kebangkitan parti itu.

PH sedar langkahnya di Semenyih tidak semegah beberapa siri PRK yang dimenangi parti itu sebelum ini, malah kemenangan di Semenyih juga amat penting kerana calon yang bertanding mewakili parti yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menyedari kesukaran untuk memenangi kerusi DUN Semenyih dalam PRK yang cukup penting itu, Mahathir terus melancarkan perang psikologi apabila mendakwa PAS tidak menyokong Umno di Semenyih dan PAS terperangkap dengan permainan politik Mahathir.

Memecahkan tembok kerjasama Umno-PAS adalah penting untuk PH jika ingin menguasai DUN Semenyih, ketika sentimen masyarakat Melayu, Islam tidak memihak kepada PH sebaliknya teruja kepada usaha penyatuan ummah yang digerakkan parti pembangkang itu.

Cameron hasil sulung kerjasama Umno-PAS

Kemenangan BN pada PRK Parlimen Cameron Highlands sebelum ini membuktikan, kerjasama Umno-PAS telah membuahkan hasil sulung dan ia perlu disekat PH jika ingin terus menguasai negara.

Bagaimanapun tempo BN di Semenyih sedikit tempang selepas PAS terperangkap dengan permainan politik Mahathir, meskipun parti Islam itu menggerakkan jenteranya di peringkat akar umbi.

Di Semenyih, khususnya orang Melayu masih meragui keupayaan PH untuk membela nasib mereka dan Islam. Apatah lagi beberapa insiden dan bantuan yang disediakan kerajaan BN sebelum ini ditarik balik di bawah pentadbiran PH.

Kegagalan kerajaan PH menunaikan janji-janji manifestonya seperti diharapkan masih "menghantui" pengundi di Semenyih termasuk anak muda.

Kos sara hidup masih belum dapat diturunkan dan ditambah lagu dengan beberapa keputusan dan tindakan kurang bijak dilakukan menteri.

Kemelut dalaman PH dengan krisis kepemimpinan yang bertiup kencang dalam masa terdekat ini, ia "diakui" dengan beberapa tindakan Mahathir mengurangkan lagi keyakinan rakyat terhadap keupayaan parti pemerintah itu.

Jadi, tidak mustahillah apabila kehadiran bekas Perdana Menteri, Najib Razak mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Melayu khususnya. PH tidak boleh beranggapan bahawa kehadiran Najib tidak mempengaruhi pengundi di Semenyih.

Semenyih walaupun dianggap sebagai kawasan kampung, namun harus diingat di dalamnya ada banyak pusat pengajian tinggi yang sekali gus menjadikan masyarakatnya juga turut berilmu dan bermaklumat.

Dijangkakan lebih 80 peratus pengundi Melayu memihak kepada BN, dan 90 peratus pengundi bukan Melayu masih bersama PH.

Berdasarkan ramalan awal dengan jangkaan 74 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab 2 Mac nanti, BN dijangka akan memperoleh kemenangan tipis dengan majoriti lebih 200 undi.

Bagaimanapun, parti-parti yang bertanding masih mempunyai masa yang cukup untuk meraih dan mempengaruhi pengundi agar menyokong calon mereka.

Di pihak BN pula, jika calon mereka berjaya merampas kembali kerusi DUN berkenaan, ia satu petanda cukup baik bahawa rakyat khususnya pengundi Melayu bersama dengan mereka.

Ia juga memberi isyarat jelas bahawa penyatuan ummah melalui kerjasama Umno-PAS adalah satu keputusan tepat.

Di pihak PH, jika tewas dalam PRK kali ini ia menandakan protes jelas rakyat menolak "Malaysia Baru" yang gagal menunaikan segala janji yang ditaburkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.


*HASPAIZI ZAIN ialah wartawan portal ini.

Tiada ulasan: