Isnin, 25 Februari 2019

Isu tol: Fahami keadaan kewangan kerajaan - Tun M

Fareez Azman, Astro Awani
Isu tol: Fahami keadaan kewangan kerajaan - Tun M
DR MAHATHIR: Walaupun (rakyat) tidak bayar tol, kerajaan bayar tol daripada duit rakyat. -Astro AWANI
 

KLANG: Perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat agar memahami keadaan kewangan kerajaan ketika ini berhubung isu tol lebuh raya.

Meskipun menerima pelbagai reaksi diterima berhubung isu tersebut, pengambilalihan empat lebuh raya seperti yang diumum kerajaan minggu lepas ialah langkah bagi membantu rakyat.

“Kecaman rakyat akan datang kerana kita (kerajaan) tidak hapuskan tol. Tapi rakyat mesti faham, walaupun (rakyat) tidak bayar tol, kerajaan bayar tol daripada duit rakyat. Akhirnya rakyat membayar (tol) walaupun melalui kerajaan.

“Kerajaan kena beli lebuh raya, itu duit cukai dikutip daripada rakyat. Dan jalan mesti diperbaiki sepanjang masa, mesti dibelanja kerajaan, bukan syarikat.

"Ini bermakna sebahagian cukai kita kutip mesti diguna untuk menyelenggarakan jalan. Bermakna kerajaan akan kekurangan wang untuk lain-lain projek perlu,” jelas Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pandangan serta reaksi segelintir rakyat berkenaan waktu tol percuma yang dilaksanakan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan proses pengambilalihan empat lebuh raya di Lembah Klang dari Gamuda Berhad membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Turut diperkenalkan caj kesesakan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

Manakala tol percuma pada waktu luar puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi.

Tiada ulasan: