Khamis, 28 Februari 2019

‘Pemimpin Umno guris hati keluarga empat bekas Adun Selangor’

MALAYSIAKINI

   
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah kesal dengan kenyataan Ketua Umno Bahagian Puchong Mohamed Satim Diman yang mengaitkan kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Sambil menggesa pemimpin Umno itu menarik balik kenyataannya, katanya, kenyataan yang sangat tidak wajar itu telah disampaikan oleh bekas ketua pembangkang Selangor tersebut ketika memberi ceramah umum BN dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, malam tadi.

“Saya percaya kenyataan yang dangkal itu telah mengguris hati keluarga empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang telah kehilangan insan yang mereka cintai.

“Justeru, saya menggesa Datuk Mohamed Satim Diman untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada anggota keluarga empat wakil rakyat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Borhan, sebagai seorang ahli politik beragama Islam, Mohamed Satim seharusnya memahami konsep qada’ dan qadar yang terkandung di dalam Rukun Iman dan tidak menggunakannya sebagai modal politik sempit ketika kempen pilihan raya.

Malaysiakini, awal pagi tadi melaporkan Mohamed Satim sebagai berkata, semua PRK di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan kini di Semenyih melibatkan kematian wakil rakyat daripada PH dan bukan daripada BN.

Beliau berkata Allah telah memberi amaran sejak (PRK) Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

“[...] Yang hairannya, yang meninggal tu siapa? Wakil rakyat mana? Wakil rakyat PH. Bukan wakil rakyat BN.

“Jadi di situ sebenarnya Dia (Allah) memberikan amaran yang pertama, BN kalah di Sungai Kandis. Tak apalah, pasal belum nampak. Lepas tu ke Seri Setia pun kalah juga, tak apa.

“Allah kata agak-agaknya orang Islam di Malaysia ni tak faham lagi ke? Dia meninggalkan (mematikan) dekat Balakong. Pun tak faham lagi.

“Kau tak faham tak apa, aku bagi dekat Semenyih. [...] Kalau itu tak faham (lagi), tak tahulah apa nak kata. Agaknya dunia dah nak kiamat kot,” kata Mohamed Satim.

PRK DUN Semenyih pula bakal diadakan pada Sabtu ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.



Tiada ulasan: