Rabu, 27 Februari 2019

Kain rentang provokasi: Tak mungkin BN yang pasang

Mohd Zaini Samsu Hadi
Barisan Nasional
Asyraf Wajdi bersama penduduk Kampung Sesapan Batu Minangkabau mengoca di dalam kolam pada Program Mengoca di sini, hari ini.


SEMENYIH – Pergerakan Pemuda UMNO menempelak pihak-pihak tertentu yang cuba menuding jari menuduh Barisan Nasional (BN) berhubung pemasangan kain rentang berunsur provokasi pada PRK DUN Semenyih.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak mungkin kain rentang yang ditemui oleh calon BN, Zakaria Hanafi pagi tadi dipasang oleh jentera partinya atau pihak-pihak dalam BN sendiri.

Ini kerana katanya, laporan polis berhubung perkara itu ada dibuat oleh Zakaria dan perkara itu bukanlah satu cerita yang direka atau dibuat main-main.

“Tidak mungkin BN yang buat dan cara olahan ayat, bilangan yang banyak saya rasa ini hanya boleh dibuat oleh mereka yang mempunyai kemampuan tinggi.

“Sebab itu kita buat laporan polis jadi polis tentu mempunyai cara dan pendekatan untuk menyiasat.

“Kalau ia dilakukan oleh BN, sudah tentu kita berdepan dengan kesalahan jenayah iaitu laporan palsu, kita membuat laporan sedemikian rupa menunjukkan bukan daripada kita tetapi mainan jahat PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mengoca, di Kampung Sesapan Batu, Minangkabau dekat Beranang hari ini.

Asyraf diminta mengulas mengenai tuduhan sesetengah pihak apabila mengaitkan laporan polis yang dibuat oleh Zakaria berhubung kain rentang yang dipasang di beberapa lokasi di Semenyih didakwa sebagai provokasi dilakukan oleh BN sendiri.

Laporan tersebut dibuat oleh Zakaria di Balai Polis Semenyih hari ini sejurus mengetahuinya pada pukul 8.15 pagi.

Mengulas lanjut Asyraf berkata, dalam tempoh yang singkat ini parti lawan sudah semakin terdesak hingga sanggup melakukan apa sahaja perkara untuk meraih simpati dan memainkan emosi demi menagih undi.

“Jadi saya hanya boleh menyarankan agar mereka berhati-hati, Pemuda UMNO dah lalui semua ini seperti di Cameron Highlands.

“Kita dalam keadaan sentiasa peka terutama dalam tempoh 48 jam akan datang kerana ini akan menjadi penentu dan mereka tentu akan melakukan apa sahaja untuk meraih simpati, memainkan emosi demi menagih undi,” ujarnya.

Tambah beliau, parti lawan sudah merasa semakin bimbang terhadap gelombang sokongan rakyat terhadap calon BN dan kesilapan demi kesilapan telah ditunjukkan oleh mereka ketika ini.

“Jadi, saya mahu memberikan peringatan kepada semua pihak, kita harus mengamalkan politik secara sihat dan setakat ini kita BN tidak ada isu dalam konteks menggunakan wang ataupun melakukan fitnah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: