PRK SEMENYIH | Pada PRU
ke-14, Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi DUN Semenyih -
kawasan tradisi Umno - apabila menang di 13 daripada 23 pusat daerah
mengundi (PDM).
Bagaimanapun dengan mengambil kira kerjasama Umno dan PAS dalam PRK kali ini, beberapa PDM yang dikuasai PH pada PRU lalu akan menjadi kawasan '50-50' dan malah mungkin dimenangi BN.
Malaysiakini melakukan tinjauan di Bandar Tasik Kesuma - PDM keempat dari segi jumlah pengundi terbesar pada PRU lalu - untuk melihat sejauh mana perubahan sokongan politik pengundi di sana.
Dan sejumlah pengundi yang ditemui menunjukkan sentimen yang tidak berpihak kepada PH.
Penyokong PAS, Nazri Mohd Fadzil, juga menjangkakan perkara sama atas dasar DUN Semenyih sememangnya kubu BN sebelum ini.
"PAS pun baru PRU lepas bertanding di sini," katanya.
Pada PRU lalu, PH menang di situ dengan mengumpul 1,763 undi (48.35 peratus), tidak jauh berbeza dengan BN (1,102 undi, 30.22 peratus). PAS pula meraih 614 undi (16.84 peratus).
Dengan andaian pengundi PAS akan menyokong calon BN kali ini, PH hanya memiliki kelebihan 47 undi saja.
"Cakaplah apa yang anda mahu, saya untuk BN. Saya Umno, kerana ia untuk orang Melayu, agama dan perlembagaan," katanya.
Tak ada masjid
Peniaga Jamilah Ahmad Shukeri berkata PH berisiko kehilangan kerusi DUN itu kerana kegagalannya dalam menunaikan beberapa janji manifesto PRU ke-14.
“Harga barang pun naik, saya yang berniaga lagilah terasa. Saya buat kuih, tapi tepung yang disubsidi dinikmati orang luar.
“Barang pun susah nak dapat. Misalnya warga Bangladesh dapat berkotak-kotak (kerana) mereka mengejar lori (yang membawa tepung), kita ini menunggu saja," kata wanita berusia 50 tahun itu.
"Di sini mana ada masjid, pakai surau untuk sembahyang Jumaat. Ini kawasan majoriti Melayu, takkan tak boleh bina sebuah masjid?" soal Shafie Omar yang merasakan calon PH Muhammad Aiman Zinali yang berusia 30 tahun sebagai terlalu muda.
"Muda sangat lagi, apa dia boleh buat? Banyak orang yang cakap macam itu," katanya lagi.
Bagaimanapun tetap ada yang merasakan PH mampu mengekalkan kemenangan di sebalik kritikan pembangkang terutama dalam soal Melayu-Islam dan janji manifesto yang tak ditunaikan sepenuhnya.
Jamal Suboh berkata PH mampu menang jika pengundi mengambil kira kejayaan kerajaan negeri sejak sedekad mentadbir Selangor.
“Kalau BN menang pun, pada saya PH tetap menang - dari segi mereka ibarat singa kekenyangan yang tertidur, apabila dikejutkan, maka dia akan menerkam balik,” katanya.
Zabri Tek pula berkata tidak akan keluar mengundi untuk "pertama kali dalam sejarah" namun menjangka kemenangan akan berpihak kepada PH.
"Umur sudah 64 tahun. Ini sejarah, saya tak pernah tak mengundi, tetapi kali ini malas, sudah bosan," katanya yang menyifatkan BN dan PH sebagai "tidak boleh harap".
Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi kecewa dengan pendirikan kerajaan dalam isu perkhidmatan e-hailing.
“Kita sokong sebab dah janji (nak mansuhkan e-hailing). Dia bukan kurangkan, dia tambah lagi. Dulu kata syarikat Rosmah, sekarang?”
PRK Semenyih dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan, manakala pengundian awal pada 26 Februari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan