Selasa, 26 Februari 2019

Polis hentikan ceramah MCA, DAP


   

PRK SEMENYIH | Dua ceramah - masing-masing oleh DAP dan MCA - yang dipisahkan jarak hanya kira-kira 100 meter dihentikan pihak polis bagi mengelak kejadian tidak diingini sebentar tadi.

Sebelum itu sekumpulan penyokong PH dilihat tidak berpuas hati dengan ceramah di kawasan medan selera di Semenyih itu.

Mereka menghampiri tempat ceramah BN apabila penceramah MCA Tee Seng Sein mencabar Anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berhubung isu pendidikan Cina.

Polis yang memantau keadaan di situ segera menghalang penyokong PH terbabit daripada menghampiri pentas ceramah BN. Seorang pegawai polis pula menaiki pentas tersebut dan mengarahkan Tee berhenti berucap.

Anggota keselamatan kemudian pergi ke pentas disediakan DAP dan turut mengarahkan penceramah menamatkan ucapannya.

Tindakan itu menyebabkan penyokong MCA tidak berpuas hati dan menganggap kerajaan menghalang orang ramai daripada bersuara.

Seorang pegawai penguat kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan dikenali sebelum itu memberitahu Malaysiakini kedua-dua ceramah terbabit mempunyai permit polis.

Bagaimanapun pegawai itu berkata dia berasa ada sesuatu yang tidak kena dan meminta bantuan daripada polis.

Untuk rekod pentas PH disediakan di kawasan terbuka medan selera Vista Valley manakala BN pula menggunakan lori yang diubah suai menjadi pentas.

Ia diletakkan di Jalan Vista 3.

Kedua-dua pihak menyasarkan pelanggan di kawasan gerai makanan Cina itu sebagai tumpuan kempen masing-masing.

Bagaimanapun pengunjung yang hadir malam ini kebanyakannya penyokong PH yang mengejek secara berterusan penceramah MCA yang diketuai setiausaha agung parti tersebut, Chew Mei Fun.

Di pihak PH pula mereka menyajikan pengunjung dengan ceramah pemimpin kanan DAP termasuk Lim Kit Siang dan Teo yang juga timbalan menteri pendidikan.

Sementara itu ditemui Malaysiakini selepas itu Chew berkata lori BN tersebut memang berada di kawasan itu setiap hari, manakala Setiausaha DAP Selangor Ean Yong Hian Wah, berkata ceramah tersebut diadakan secara berdekatan adalah kebetulan.


Tiada ulasan: