Isnin, 25 Februari 2019

PRK Semenyih: Polis dan pasangan undi awal esok – SPR

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEMENYIH: Seramai 858 orang daripada keseluruhan 951 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan menunaikan kewajipan mereka untuk mengundi esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata kesemua pengundi awal itu terdiri daripada anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan yang mana 761 daripada mereka akan mengundi di Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih dan 97 orang lagi akan mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Sebahagian lagi iaitu 93 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA telah mengundi secara pos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata pusat mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih akan dibuka pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala Pusat Mengundi di Discress Room IPD Kajang akan ditutup pada 2.00 petang.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding pada PRK ini dan pemerhati pilihan raya daripada wakil-wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh SPR, katanya.

“SPR juga akan menyiarkan secara langsung menerusi Facebook Live proses pengundian awal itu,” katanya.

Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi esok, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.

“ Pada 2 Mac (Sabtu ini) nanti, peti-peti undi awal itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing. Pemerhati pilihan raya yang dilantik juga akan dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan itu,” katanya.

Pengundian PRK Semenyih akan diadakan Sabtu ini. PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Tiada ulasan: