Ahad, 24 Februari 2019

PAS pertimbang tindakan selepas SPRM sahkan tiada RM90 masuk akaun parti

 
 


PETALING JAYA: PAS pertimbangkan tindakan undang-undang selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan tiada RM90 juta masuk ke dalam akaun parti Islam itu, wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata pengesahakan SPRM “membuktikan” dakwaan tersebut suatu pembohongan, fitnah liar dan perancangan jahat untuk memburukkan imej PAS terutama menjelang pilihan raya umum.

“PAS menyeru semua pihak agar dapat menerima pengesahan daripada SPRM ini sebagai suatu fakta sahih yang dibuat hasil siasatan yang telus, profesional dan dengan tanpa gentar atau pilih kasih kepada mana-mana pihak.

“PAS menggesa isu ini dihentikan dengan segera, dan PAS berhak mengambil segala tindakan mengikut undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpamanya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dilapor berkata siasatan setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan dana 1MDB ke dalam akaun PAS.

Beliau bagaimanapun enggan mengulat lanjut ketika ditanya sama ada siasatan terhadap PAS akan ditutup, susulan daripada pengesahan ini.

SPRM menyoal beberapa individu dalam siasatannya termasuk Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dari PAS dan Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa. Turut disoal bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa.

Siasatan ini menyusuli penyelesaian luar mahkamah saman fitnah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown pada 2 Februari lepas.

Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London susulan satu artikel yang ditulis oleh Rewcastle-Brown dan diterbitkan portal berita Sarawak Report pada 6 Ogos 2017.

Artikel itu mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tiada ulasan: