Isnin, 25 Februari 2019

Satu lagi kerjayaan PH untuk orang Melayu -- 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan


KUALA LUMPUR . - Kementerian Pendidikan digesa untuk mengkaji semula terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari.

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Mustapa Ali mendakwa, hal itu kerana terma kontrak tersebut menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh Kementerian Pendidikan.

“Dalam format dua syif yang terbahagi kepada petang dan malam, empat pengawal akan bertugas setiap hari tetapi format tiga syif terbahagi kepada pagi, petang serta malam, hanya tiga pengawal keselamatan bertugas setiap hari.

“Kita menggaji kira-kira 40,000 pengawal keselamatan untuk mengawal 12,000 sekolah di seluruh negara. Pelaksanaan format tiga syif ini sudah tentu memberi kesan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung isu pengurangan tempoh syif bekerja bagi kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan secara drastik oleh Kementerian Pendidikan di Hotel Holiday Villa dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PKIM, Datuk Seri Ramli Yusuf dan Pengerusi PKIM Perak, Shah Jahankhir Hameed.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, format tiga syif setiap hari turut menyebabkan gaji pengawal keselamatan sekolah menjadi lebih kecil (RM1,100 sebulan) berbanding format dua syif setiap hari (RM2,200 sebulan) yang diguna pakai sebelum ini.

Sementara itu, Utusan Malaysia cuba menghubungi Kementerian Pendidikan menerusi pegawai medianya berhubung isu ini tetapi setakat pukul 5 petang tadi masih belum ada sebarang maklum balas diterima. - UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: