Selasa, 26 Februari 2019

Pemuda PAS tawar MP, teknokrat bantu Mahathir

MALAYSIAKINI

   

Mendakwa amalan politik di negara ini tebal dengan perkauman dan berpuak-puak Pemuda PAS hari ini menawarkan 'ubat' bagi menangani isu berkenaan, khususnya buat perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut kenyataan yang kelihatan membela Mahathir itu, Pemuda PAS berkata proses demokrasi dipertaruhkan gara-gara ada ahli politik yang "gelojoh" enggan menghargai mandat rakyat.

Bagaimanapun ia tidak menamakan ahli politik yang digelarnya gelojoh itu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata tiba masa untuk Mahathir beralih pendekatan untuk menghadapi keadaan itu.

Penyelesaian ditawarkan - formula dibawa PAS iaitu budaya politik matang dan sejahtera.

"Budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) digagaskan PAS menjadi penawar untuk merawat racun dalam politik negara ketika ini.

"Ia jelas meletakkan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara sebagai agenda utama," katanya.

Saran Mahathir jaga klinik
 
Sebelum berlangsungnya PRU ke-14 PAS giat menyerang Mahathir yang dinamakan PH sebagai calon perdana menteri jika BN dapat dikalahkah.

Pada masa sama pemimpin kanan PAS cenderung bersahabat dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, walaupun beliau terpalit dengan skandal 1MDB.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri pernah menasihati Mahathir agar tidak lagi terbabit dalam politik yang aktif sebaliknya lebih sesuai berkhidmat sebagai doktor di Klinik 1Malaysia.
Bagaimanapun baru-baru ini perdana menteri mendakwa PAS berjanji untuk tidak menyokong BN di PRK Semenyih. Abdul Hadi sendiri mengakui suasana di Semenyih berbeza berbanding PRK Cameroh Highlands.

Di sebalik kenyataan itu PAS tekal berkempen untuk BN di Semenyih. Malam semalam anak Abdul Hadi sendiri, Muhammad Khalil yang juga ketua Pemuda PAS hadir berceramah untuk BN.

Khairil Nizam berkata cadangan dibawa Pemuda PAS untuk Mahathir boleh dipermudahkan melalui konsep kerajaan teknokrat yang menekankan aspek daya saing dan integriti.

Untuk rekod kerajaan teknokrat ialah satu lagi gagasan dibawa PAS sebelum PRU ke-14 lalu.




Untuk membuktikan kemampuan gagasan itu Khairil Nizam menjadikan anggota parlimen PAS sebagai bukti dan mereka dikatakan sudah bersedia.

Katanya mereka memiliki latar belakang dan kemahiran tersendiri.

"Uniknya, mereka ini dibantu pasukan teknokrat di belakang tabir yang aktif menjadi penasihat kepada banyak perkara termasuk berkaitan hal ehwal polisi dan pentadbiran negara," katanya.

Namun Kharil Nizam juga berkata, jika ramuan yang ditawarkan itu tidak diterima Pemuda PAS tetap menghormati Mahathir sebagai perdana menteri dan akan mempertahankan kepemimpinan beliau selagi kepentingan agama, bangsa dan negara terjamin.

"Sebarang usaha menukar mandat ini mestilah berlaku mengikut saluran PRU yang tentu sekali wajar diadakan mengikut tempoh matangnya," kata Khairil Nizam.


Tiada ulasan: