Selasa, 26 Februari 2019

Hanya hantu, LGBT dapat manfaat tol percuma 11pm-5am, kata Najib

Najib Razak (tengah) ketika berkempen di Semenyih. (Gambar Facebook)
 
SEMENYIH: Bekas perdana menteri Najib Razak menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung rancangannya menggantikan kutipan tol di 4 lebuh raya dengan caj kesesakan, mengatakan tiada sesiapapun mendapat manfaat ketika luar waktu puncak (off-peak) antara jam 11 malam hingga 5 pagi.

“Adalah tidak logik, tidak kenakan caj ketika orang sedang tidur. Kita mahu memberikannya kepada rakyat secara percuma ketika mereka sedar, bukan ketika mereka tidur.

“Siapa yang masih berjaga dari jam 11 malam hingga 5 pagi? Hanya hantu, peminum arak, LGBT dan mereka yang mencari pelanggan, mungkin,” katanya kepada hampir 200 hadirin, malam tadi.

Tiada siapa yang akan pulang dari pejabat pada pukul 11 malam, katanya, mempersoalkan kebenaran kata-kata PH.
“Bandingkan ini pada zaman saya – saya menghapus 11 tol walaupun saya tidak pernah berjanji apa-apa.

“Apabila saya kata mansuh, ia bermakna percuma. Mansuhkannya, beku dan tutupnya.”

Beliau juga mengkritik cadangan caj kesesakan, mengatakannya sebagai tidak adil.

Putrajaya baru-baru ini mengeluarkan kenyataan kerajaan sudah pun memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi 4 lebuh raya yang syarikat terbabit mempunyai pegangan majoriti.

Apabila berjaya, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Menurut rancangan itu, “congestion charge” atau caj kesesakan akan diperkenalkan, di mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama 6 jam sehari.

Semasa luar waktu puncak antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30% berbanding kadar tol sedia ada.

Dalam ucapannya, Najib juga mengkritik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali kerana menyimpang dari pandangan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Berikutan kenyataan rasmi dari PMO, Azmin dilaporkan berkata keputusan untuk menghapuskan kutipan tol masih dalam rundingan.

“Bagaimana kenyataannya berbeza daripada yang dikeluarkan oleh PMO?

“Saya tidak fikir perdana menteri akan mengeluarkan kenyataan seperti itu jika tidak ada perbincangan dengan menteri lain. Dan kenyataan seperti ini mesti mendapat persetujuan daripada perdana menteri.”

Pada zaman pentadbirannya, Najib berkata, kenyataan tidak akan dikeluarkan tanpa perbincangan dengan menteri lain.

“Pentadbiran jenis apakah ini?”

Tiada ulasan: