TERNYATA Lim Guan Eng
mahupun DAP menikus apabila dicabar untuk menyokong Tun Dr Mahathir
Mohamad menjadi Perdana Menteri sehingga tamat penggal Kerajaan PH atau
PRU15. Ia bukti teramat jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa
sememangnya sedang berlaku pergolakan yang amat besar di dalam Kerajaan
PH di sebalik semua gambaran indah diberikan.
Jika benar Lim Guan Eng mahupun DAP
menyokong Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga PRU15,
sebenarnya amat mudah untuk mereka membuktikan taat setia dan sokongan
tidak berbelah bahagi terhadap Tun Dr Mahathir. Namun mereka memilih
untuk berdiam diri tidak menyahut cabaran PAS, sebaliknya menyuruh anak
didiknya membuat cereka komedi tidak cukup masak.
Usahlah menjadi 'penunggang agama'
untuk menutup kesalahan, pengkhianatan atau keburukan yang dilakukan.
Usah menggunakan hukum agama untuk kepentingan parti anda. Agama bukan
untuk dijual beli seperti yang biasa dilakukan. Sebelum mengajar PAS
mengenai hukum agama, cuba hadam pepatah Melayu, “Umpama tikus membaiki
labu". Sendiri jalan senget hendak ajar orang lain jalan tegak.
Lebih elok Lim Guan Eng dan DAP
bisikkan di telinga Husam Musa dan Ambiga agar tampil membawa segala
bukti kepada SPRM berkaitan tuduhan RM90 juta. Sebelum mengomel mengenai
kaedah al-bayyinah ‘ala al-mudda’i, DAP sendiri patut
amalkannya dengan mengemukan bukti berserta tuduhan. Bagaimana hendak
bicara hukum tetapi DAP sendiri menolak hukum dan tidak amalkan?
Ternyata DAP memang 'penunggang agama', menggunakan hukum untuk
kepentingan politik mereka sendiri.
DAP sebenarnya mengamalkan 'Politik
Sembelit', tahun 2013 cakap A dan tahun 2019 cakap B. DAP memang tidak
boleh dipercayai dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai matlamat
poltik mereka. Dahulu tidak cukup siang, dengan malam sekali mereka
berteriak Tun Dr Mahathir korup, salah guna kuasa dan zalim. Apa yang
Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Nga Kor Meng dan seluruh juak-juak DAP
tidak tuduh, cemuh dan keji terhadap Tun Dr Mahathir?
Tidak cukup dengan itu, mereka
mendesak SPRM menyiasat Tun Dr Mahathir, malah turut mendesak ditubuhkan
RCI untuk menyiasat segala tuduhan mereka. Tidak cukup sidang akhbar,
laporan polis juga dibuat terhadap Tun Dr. Mahathir. Sekarang ke mana
hilang semua desakan, tuduhan, cemuhan dan kejian tersebut? Adakah
selama ini mereka menipu rakyat Malaysia dengan menuduh, mengeji,
mencemuh dan memfitnah Tun Dr Mahathir sewenang-wenangnya tanpa bukti?
Sekarang sudah jelas siapa yang sebenarnya membenarkan tipu daya,
menuduh tanpa bukti dan menyuburkan budaya fitnah di dalam politik
negara untuk kepentingan politik mereka sendiri?
Sedarlah rakyat Malaysia, usah tertipu
lagi dengan budaya 'Politik Sembelit' DAP. Cukuplah sekali tertipu
sebagai pengajaran. Mungkin ini agaknya Islam Moderat yang di sebut Lim
Kit Siang baru-baru ini, menggunakan agama untuk menutup kesalahan
sendiri atau lebih tepat lagi 'Penunggang Agama'. Sudahlah Lim Guan Eng
atau pimpinan tertinggi DAP langsung tidak berani menyahut cabaran PAS,
disuruhnya pula anak buahnya yang tidak cukup masak bercakap. Maaf Edry
Rizal, sudah lama di Malaysia tidak nampak The Royal London Circus,
cubalah lawak tidak masak anda di tempat lain pula.
“Umpama meludah ke langit, akhirnya terjatuh ke muka sendiri".
*YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan