Isnin, 25 Februari 2019

‘Penghina agama makin berani jika kerajaan malas bertindak’

siti hafidah  

PAS tuntut penjelasan pihak berkuasa bebas individu hina Rasulullah



BANGI – PAS menuntut penjelasan pihak berkuasa apabila membebaskan pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai yang memuat naik karikatur biadab menghina Nabi Muhammad ﷺ dan isteri baginda.

Kesal dengan tindakan pihak polis yang melepaskan individu berbangsa Cina itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan mempersoal tindakan sedemikian kerana menimbulkan tanda tanya dalam kalangan umat Islam, apabila suspek dibebaskan dengan mudah.

Sedangkan, mengikut fakta kes, Nasrudin berkata, tindakan biadap Sing Wai tidak wajar untuk dilepaskan.

“Tindakan inidividu biadab itu sewajarnya dikenakan hukuman berat. Karikatur menghina Nabi Muhammad ﷺ dan isteri baginda tidak dapat dimaafkan oleh umat Islam di negara ini.

“Walhal, seorang wanita yang menghina Nabi Muhammad ﷺ pada tahun lalu, disiasat mengikut Seksyen 298 juga telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas lelaki berusia 68 tahun yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis, Jumaat lalu.

Lelaki berkenaan menimbulkan kemarahan umat Islam kerana memuat naik gambar kartun dalam keadaan berbogel, yang digambarkan sebagai junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ dan isteri baginda.
Dalam pada itu, Nasrudin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga mesti tegas bertindak dalam menjaga agama Islam dan sensitiviti penganutnya.

“Jika kerajaan malas dan lembab bertindak, ia menyebabkan penghina agama ini makin berani dan nekad. Jika tiada tindakan tegas, rakyat pasti akan bangkit dan himpunan raksasa akan diadakan untuk mendesak kerajaan bertindak,” katanya.


Tiada ulasan: