Sabtu, 23 Februari 2019

Kementerian Kewangan nafi OKU bujang tak terima BSH

sitifatimah

Tular kisah OKU, Ishak Awi tak layak terima bantuan sara hidup


PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan hari ini menafikan laporan bahawa orang kelainan upaya (OKU) bujang tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Merujuk kepada laporan mengenai seorang lelaki OKU bujang tidak memenuhi kelayakan untuk memohon BSH 2019, kementerian itu berkata, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membantu lebih daripada 140,000 OKU dengan bantuan Elaun Pekerja Cacat atau Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja.

“Oleh itu, individu yang dilaporkan telah pun menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 sebulan dan layak menerima bayaran BSH untuk kategori bujang sebanyak RM100,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, tiga juta orang dalam kategori bujang akan menerima BSH sebanyak RM100 pada hujung bulan hadapan.

Kisah Ishak Awi, 59, dari Kuala Terengganu yang terkilan setelah tidak layak menerima BSH 2019 menjadi tular.  Ishak yang kudung dua belah kaki serta cacat tangan kiri dilaporkan belum layak memohon kategori warga emas kerana belum berusia 60 tahun.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan kini menumpukan kepada proses pendaftaran dan kemas kini maklumat untuk program BSH yang juga memberi kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan.

Menurut Kementerian Kewangan, kadar tambahan BSH 2019 sebanyak RM120 diberikan untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat anak, dan bagi anak OKU tidak dihadkan umur. 

“Dalam konteks ini, Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa ibu bapa tunggal dengan tanggungan turut layak dan diberikan BSH pada tahun 2019. 

“Bagi warga emas yang melebihi 60 tahun, mereka juga layak menerima BSH sama ada berstatus berkahwin atau bujang,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan berkeperluan untuk meringankan beban kos sara hidup mereka berdasarkan kemampuan yang ada, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kepada rakyat. – Bernama


Tiada ulasan: