Selasa, 26 Februari 2019

Ramai 'Salman Rushdie' sejak PH perintah - AJK PAS Pusat

MALAYSIAKINI

   

PRK SEMENYIH | Anggota jawatankuasa PAS pusat, Dr Zuhdi Marzuki mendakwa sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, semakin ramai golongan yang berani menghina Nabi Muhammad SAW secara terang-terangan.

Beliau menggambarkan situasi itu sebagai “kemunculan ramai Salman Rushdie di Malaysia”.

“Kita tak pernah gambarkan dalam kehidupan kita, dulu Salman Rushdie pada tahun 1989 menulis satu buku The Satanic Verses, seluruh dunia marah pada waktu itu.

“Sama ada Syiah, Ayatollah Khomeini atau pun Sunni, semua bangun menentang Salman Rushdie sehingga dia tak berani keluar rumah.

“Kita rasa hairan sekarang ini apabila PH memerintah, tiba-tiba ramai Salman Rushdie dalam Malaysia rupanya. Ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sembang Santai di Pangsapuri Seri Dahlia, pusat daerah mengundi (PDM) Bukit Mahkota 2 malam tadi.

Undang kemarahan umat Islam

Zuhdi merujuk kepada kejadian beberapa orang yang tular kerana menulis kenyataan yang dianggap mempersendakan Nabi Muhammad SAW di media sosial baru-baru ini.

Salman Rushde ialah penulis yang menghasilkan novel kontroversi ‘The Satanic Verses’ pada tahun 1988.

Kontroversi berkaitan novel itu timbul bermula daripada judulnya yang merujuk kepada kejadian penarikan semula sepotong ayat al-Quran dalam surah Al-Najm yang didakwa sesetengah pihak pernah berlaku kerana Nabi Muhammad terkeliru bisikan syaitan dengan wahyu Tuhan.

Untuk rekod, kejadian tersebut tidak direkod dalam mana-mana hadis sahih. Kejadian tersebut boleh ditemukan dalam kitab Al-Tabbari yang mengaku hanya merekod semua maklumat yang disampaikan kepadanya sementara kredibiliti maklumat itu disandarkan kepada penyampainya.

Novel tersebut telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia sehingga fatwa bunuh terhadap Salman dikeluarkan oleh pemimpin Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini pada 1989.

Justeru Zuhdi menggesa tindakan segera diambil bagi mendakwa dan menghukum golongan tersebut.


Selain daripada itu, Zuhdi turut melahirkan kerisauannya apabila DAP didakwanya menguasai beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ‘kementerian-kementerian kanan’ di peringkat kerajaan pusat.

“DAP dapat kementerian penerangan. Internet, jalur lebar, itu belum lagi media elektronik dan media cetak (semuanya) bawah kementerian penerangan.

“Hadirin kena ingat, internet boleh ditutup pada bila-bila masa jika ada arahan. Kalau dia nak tutup internet, boleh. Kalau nak sekat telekomunikasi (seperti) Celcom, Digi, dia boleh buat bila-bila masa.

“Ini antara kuasa bawah kementerian penerangan,” katanya lagi.

Biarpun tidak menyebut nama, dia dipercayai merujuk pada Gobind Singh Deo yang mengetuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia, iaitu tempat bernaungnya Jabatan Penerangan Malaysia.

Satu kapal cirit-birit

Dalam nada sinis, beliau turut memerli Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sebagai menteri yang hanya minat memasak, sedangkan keputusan kementerian banyak diurus oleh timbalan menteri daripada DAP.

“Dia pergi naik kapal perang [...] nak masak tu pun, ada protokol dia, ada prosedur dia, SOP dia, bukan semua orang boleh masak. Bantainya kalau kita masak satu kapal tentera laut itu cirit-birit, macam mana?

“Nasib baik dia naik Sukhoi tu tak ada dapur, kalau tak dekat situ pun dia masak.

“Ketika dia fikirkan tentang perkara ini (memasak), perkara-perkara strategik berkaitan pertahanan dirancang dan diuruskan oleh timbalannya, Liew Ching Tong,” tambah Zuhhdi lagi.

Antara lain yang dipetik Zuhdi ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Cie Ching, penasihat menteri kewangan Tony Pua dan Ong Kian Ming (juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).


Tiada ulasan: