Selasa, 26 Februari 2019

KPM nafi tak sambung kontrak syarikat pengawal keselamatan

Wartawan MalaysiaGazette
 
KPM-681x661



KUALA LUMPUR – Tidak adil menuduh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menamatkan kira-kira 12,000 pengawal keselamatan sekolah.

KPM dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan itu sambil menegaskan kontrak syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang tamat sudah ditender semula oleh pihaknya.

“Kontrak yang dtender semula telah disertai oleh syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa seperti bilangan syif dan pekerja.

“Antara syarikat-syarikat yang pernah mendapat kontrak daripada KPM sebelum ini juga menyertai proses tender. Segala proses telah dijalankan secara adil, telus dan penuh berintegriti,” ujar kenyataan yang sama.

Kenyataan KPM itu bagi menjawab dakwaan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) yang pihaknya tidak menyambung kontrak syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang tamat tempoh pada 31 Disember tahun lalu.

Menurut KPM, penawaran kontrak baharu itu dibuat berdasarkan skop dan spesifikasi yang dipersetujui kedua-dua pihak yang dilantik kementerian.

Sebagai kementerian bertanggungjawab, KPM tidak pernah menganiayai mana-mana pihak dalam perkara itu malah tidak pernah menamatkan kira-kira 12,000 orang pengawal keselamatan seperti dakwaan PKIM.

Menurutnya, KPM juga tidak terlibat dengan penamatan atau pengambilan manamana pengawal keselamatan memandangkan perkhidmatan kawalan keselamatan merupakan kuasa syarikat swasta yang mendapat kontrak perkhidmatan.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: